Rebana kercing seni yang hampir pupus - Utusan Malaysia

Rebana kercing seni yang hampir pupus

PAK Su Harun (berbaju Melayu jingga) bersama Kumpulan Budaya Rebana Kercing Kampung Laut mengadakan persembahan di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seni warisan dipanggil rebana kercing yang bertapak sejak lebih 150 tahun lalu di Kampung Laut, di sini, di ambang kepupusan apabila penggiatnya yang aktif hanya tinggal kira-kira 50 orang.

Rebana kercing dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab sebelum diolah dengan elemen kemelayuan dan dipersembah dengan cara orang dewasa bertindak sebagai pemalu rebana manakala kanak-kanak sebagai penari.

Antara yang masih setia menghidupkan rebana kercing ialah Pak Su Harun atau nama sebenarnya, Harun Hasan, 76, anak jati Kampung Laut yang mempelajari kesenian tradisi itu seawal usia 10 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pak Su Harun berkata, di zaman kanak-kanaknya, rebana kercing popular dalam kalangan penduduk setempat apabila sering dimainkan dalam pelbagai majlis keraian terutama kenduri kahwin.

“Saya mempelajari teknik bermain rebana sambil menyanyi dan menari dengan arwah bapa saudara Che Mohd Amin Taib yang sudah meninggal dunia lebih 50 tahun lalu. Penggiat seni ini yang tinggal sekarang berumur 60 hingga 70-an tahun seperti saya.

“Saya lega bakat ini diwarisi anak bongsu, Mohd. Azlami 31, yang kini belajar di peringkat sarjana dalam bidang berkaitan seni tari di Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” katanya ketika ditemui di Galeri Rebana Kercing di Kampung Laut di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D. McFeeters melancarkan Ambassador Fund For Cultural Preservation, program UMK bagi memulihara rebana kercing yang digerakkan dengan dana sebanyak RM200,000 dibiayai Kedutaan AS.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rebana Kercing, Wan Azmi Wan Mohd. Nor, 61, berkata, jumlah penggiat yang bernaung di bawah satu-satunya organisasi di negara ini berkurangan kepada 50 orang, berbanding 200 orang satu ketika dulu.

“Kita lega apabila UMK mengambil inisiatif bekerjasama dengan kedutaan AS untuk menghidupkan semula rebana kercing. UMK juga bercadang menjadikannya aktiviti kokurikulum dalam kalangan penuntut UMK selain diajar di sekolah-sekolah.

“Satu lagi usaha kami memastikan kesenian ini tidak pupus ialah mewujudkan Galeri Rebana Kercing di Kampung Laut yang dibuka dua kali seminggu iaitu pada Khamis dan Sabtu untuk orang ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya