Keluarga rakyat AS maut dibelasah penduduk haram Israel tuntut siasatan dari Washington - Utusan Malaysia

Keluarga rakyat AS maut dibelasah penduduk haram Israel tuntut siasatan dari Washington

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Keluarga Sayfollah Musallet, seorang warga Amerika Syarikat (AS) dari Florida yang dipukul sehingga mati oleh penduduk haram Yahudi di Tebing Barat menuntut Washington melancarkan siasatan segera serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab.

Dalam satu kenyataan, keluarga Musallet yang lebih dikenali sebagai Saif berkata, dia dikepung selama tiga jam oleh sekumpulan pendatang Israel pada Jumaat sebelum dipukul hingga mati selain mendakwa pasukan perubatan yang cuba menyelamatkannya turut diserang.

“Saif adalah seorang anak muda yang baik, rajin dan dihormati, sedang berusaha membina masa depan dan mengejar impiannya,” menurut kenyataan tersebut.

“Kejadian ini adalah mimpi ngeri dan ketidakadilan yang tidak seharusnya dilalui oleh mana-mana keluarga. Kami mendesak Jabatan Negara AS untuk mengetuai siasatan serta mendakwa pendatang Israel yang membunuh Saif. Kami menuntut keadilan,” kata keluarganya.

Sebelum ini, Washington sering mengelak daripada menjalankan siasatan sendiri terhadap insiden yang melibatkan kematian rakyat AS di tangan tentera atau pendatang Israel, dengan alasan Israel mampu menjalankan siasatan sendiri.

Namun, siasatan Israel jarang membawa kepada pendakwaan jenayah terhadap pelaku walaupun pelbagai pelanggaran hak asasi terhadap rakyat Palestin telah direkodkan secara meluas.

Jabatan Negara AS dalam kenyataan ringkas lewat Jumaat menyatakan keselamatan warganya di luar negara adalah keutamaan utama.

“Kami sedar laporan mengenai kematian seorang warga AS di Tebing Barat. Apabila warganegara kami meninggal dunia di luar negara, kami bersedia memberi perkhidmatan konsular,” kata jurucakap Jabatan Negara kepada Al Jazeera namun enggan mengulas lanjut atas alasan privasi keluarga mangsa.

Sejak 2022, sekurang-kurangnya sembilan rakyat AS telah dibunuh oleh tentera Israel, termasuk wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Akleh. Namun, tiada satu pun kes tersebut yang membawa kepada pendakwaan jenayah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN