PN desak PM beri penjelasan segera isu kebocoran minit JAC

PN desak PM beri penjelasan segera isu kebocoran minit JAC

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan segera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan laporan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa berlaku pada 16 Mei lalu.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, isu pelantikan hakim terutama bagi jawatan di mahkamah atasan merupakan perkara berkepentingan awam dan sebarang kelewatan atau pendirian tidak jelas kerajaan hanya akan memburukkan lagi defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

“PN secara khusus menuntut kerajaan memberi penjelasan terhadap beberapa perkara yang timbul susulan pendedahan minit berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara perkara yang perlu dijelaskan adalah sama ada undi pemutus Pengerusi JAC telah digunakan mengikut peruntukan Seksyen 13(6) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 sekiranya benar berlaku keputusan undi seri 4–4 dalam proses pemilihan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya seperti yang didakwa dalam minit tersebut.

Jelasnya, seksyen itu memperuntukkan bahawa jika terdapat persamaan bilangan undi, Pengerusi yang mempengerusikan mesyuarat mempunyai undi pemutus.

Malah, Takiyuddin turut mempersoalkan sekiranya mesyuarat susulan telah diadakan bagi menyelesaikan isu tersebut memandangkan Akta sama memperuntukkan JAC perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Tambah Takiyuddin, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada Perdana Menteri telah menerima sebarang cadangan daripada JAC berhubung pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan selepas mesyuarat 16 Mei tersebut, khususnya bagi jawatan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“PN juga ingin tahu bilakah kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan diisi mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Isu ini memerlukan penjelasan segera daripada kerajaan kerana ia menyentuh kedudukan dan integriti badan kehakiman yang merupakan salah satu tiang utama dalam sistem demokrasi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN