RCI Tabung Haji bermesyuarat kelmarin - Utusan Malaysia

RCI Tabung Haji bermesyuarat kelmarin

WAN Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bergambar dengan warga Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Bangunan Hal Ehwal Undang-undang Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai seminggu ditubuhkan, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Lembaga Tabung Haji sudah pun mengadakan mesyuarat pertamanya kelmarin.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbar di sini hari ini.

“Ya, mereka sebenarnya telah pun ada mesyuarat 26 Januari lalu namun saya tidak tahu apa isi butirannya kerana ia bukan pun di bawah bidang kuasa portfolio jabatan saya,” jelasnya selepas menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2022 peringkat jabatan itu, di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan RCI itu ditubuhkan pada 19 Januari lalu dengan watikah pelantikan diserahkan dua hari kemudian diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif sebagai pengerusi dan disertai lima ahli lagi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.

Kabinet pada 14 Julai 2021 bersetuju menubuhkan RCI itu bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Skop siasatan RCI tersebut merangkumi hasil pengauditan tiga firma juruperunding dilantik dari 2014 hingga 2020 iaitu PriceWaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kekeliruan bidang kuasa RCI itu yang sebenarnya terletak di bawah kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

“Saya cuma bantu sebab diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk cari ahli-ahli panel dan proses itu pun ambil masa panjang kerana bukan mudah,” katanya.

Ini ujarnya, meliputi saringan ketat bagi memastikan semua ahli tiada konflik kepentingan dengan Tabung Haji dan Kementerian Kewangan termasuk hubungan keluarga atau saudara.

Bahkan katanya, ada yang menolak apabila dihubungi kerana bimbang boleh jejas kredibiliti RCI dan menyebabkan pasukan beliau terpaksa mencari pengganti lain dalam masa segera.

Justeru, beliau meminta umat Islam khasnya lebih 10 juta pendeposit Tabung Haji tidak perlu bimbang dan dimohon bersabar kerana RCI berkenaan diberi masa cukup untuk menyiasat.

Ditanya siapakah akan mengumumkan hasil penyiasatan panel itu selepas tamat tempoh enam bulan, Wan Junaidi berkata, terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskannya.

“Kalau ikut portfolio, Tabung Haji di bawah Menteri Hal Ehwal Agama, tetapi dari segi protokol, mana-mana menteri selaku wakil Kabinet boleh mengumumkannya nanti,” tambah beliau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya