Rapatkan jurang pencen veteran ATM  - Utusan Malaysia

Rapatkan jurang pencen veteran ATM 

Sharuddin Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Veteran Anggota Tentera Malaysia (PVATM) terus memperjuang  jurang pencen antara veteran lama dan baharu yang dibezakan menerusi skim gaji yang berbeza.

Presiden persatuan itu, Datuk Sharuddin Omar berkata, skim itu hanya melibatkan veteran yang bersara pada tahun 2013 dan tahun-tahun sebelumnya.

“Jurang perbezaan kadar pencen dalam pangkat yang sama amatlah ketara dan ia melebar khususnya melibatkan penerima pencen kadar tinggi hanya 10 peratus dan penerima pencen kadar rendah lebih kurang 90 peratus bagi anggota lain-lain pangkat (LLP).

“Perbezaan ini berlaku kerana setiap kali pelarasan dan kenaikan gaji anggota ATM yang sedang berkhidmat tidak melibatkan pelarasan pencen veteran yang telah bersara,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pahlawan, deka sini hari ini.

Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan memutuskan tuntutan mengenai Pencen Kakitangan Kerajaan yang menyatakan bahawa dua  peratus kenaikan pencen tahun adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan terbatal.

Dalam sidang akhbar  itu juga, PVATM itu turut membangkitkan mengenai elaun sara hidup kepada veteran  tidak berpencen, tribunal pengampunan untuk bekas tentera, elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) serta penambahbaikan pencen terbitan kepada balu ATM.

Mengulas mengenai tribunal pengampunan bekas tentera, Sharuddin berkata, sekurang-kurangnya 40 peratus bekas tentera layak untuk diberikan pengampunan kerana mereka diberhentikan atas sebab disiplin.

“Kami mahukan pembelaan kepada bekas tentera yang diberhentikan atas sebab disiplin dan menyebabkan mereka yang diberhentikan atas sebab ‘penderhakaan’ kekal tidak layak mendapat pembelaan.

“Didapati ada dalam kalangan ATM yang diberhentikan atas sebab-sebab disiplin dan mereka tidak mendapat sebarang kemudahan yang diberikan oleh kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di Kementerian Pertahanan.

“Malahan mengikut Akta Veteran 2021, mereka ini tidak diiktiraf sebagai veteran ATM kerana diberhentikan secara keji. Kebanyakan mereka hidup dalam keadaan daif kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terdapat juga yang mengidap penyakit kronik ekoran perkhidmatan dalam tentera,” katanya.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN