PN tuntut siasatan segera kematian murid tahun empat di sebuah sekolah di Seremban - Utusan Malaysia

PN tuntut siasatan segera kematian murid tahun empat di sebuah sekolah di Seremban

pru15
TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan terperinci dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Seremban yang ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia baru-baru ini.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan perlu meneliti sama ada pelajar tersebut sudah meninggal dunia ketika ditemui serta kemungkinan wujud unsur jenayah membunuh dalam kejadian berkenaan.

“Ahli-ahli Parlimen PN amat kesal dan dukacita dengan tahap keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan yang kini kelihatan semakin tidak terkawal sehingga berlaku siri kematian pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pihaknya turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes buli di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, bukannya disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap Kementerian Pendidikan (KPM) yang didakwa masih belum mengambil tindakan tegas termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan khas di peringkat kementerian bagi menyiasat insiden tragis itu.

“Apa yang menghairankan, kes ini hanya dikategorikan sebagai kes buli sedangkan keadaannya amat mencurigakan dan memerlukan siasatan lebih mendalam.

“Menteri Pendidikan dilihat hanya menyatakan bahawa banyak perkara perlu diperhalusi dan ia akan mengambil masa sebelum dimaklumkan kepada masyarakat. Ini bukan pendekatan yang wajar dalam situasi seumpama ini,” katanya.

Takiyuddin berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi pelajar, namun kejadian seumpama ini menunjukkan kegagalan pihak berkaitan di bawah KPM dalam memastikan keselamatan sepenuhnya di institusi pendidikan terutama di sekolah rendah.

“Setiap kejadian seumpama ini menuntut kebertanggungjawaban pihak berwajib. Nyawa pelajar tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sebelum ini, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah terbabit sebelum disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau juga mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN