KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 panggilan diterima Talian Kasih 15999 sejak Januari hingga September tahun ini, menjadikannya antara saluran utama bagi rakyat mendapatkan tempat meluahkan perasaan, kaunseling dan sokongan emosi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peningkatan jumlah panggilan itu menunjukkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan kesejahteraan mental semakin tinggi dalam menghadapi tekanan hidup semasa.
“Ya, kami di KPWKM sedar bahawa kesejahteraan emosi sama penting dengan kesejahteraan fizikal.
“Sama seperti kita berlari untuk menjaga kesihatan badan, kita juga perlu berlari ke arah kesejahteraan minda dan jiwa,” katanya selepas merasmikan kempen ‘Awak OK Tak? Jom Kongsi’ sempena Kasih Fun Run, di sini hari ini.
Menurut Nancy, statistik itu membuktikan keperluan mendesak terhadap perkhidmatan sokongan emosi.
Pada 2024, Talian Kasih menerima 59,065 panggilan, mencerminkan tahap kebimbangan dan tekanan yang dihadapi masyarakat.
“Talian Kasih beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, sentiasa sedia membantu mereka yang memerlukan kaunseling, perlindungan atau bantuan sosial. Nilai kempen ini diharap menjadi langkah pertama untuk masyarakat lebih prihatin terhadap kesejahteraan sekeliling,” katanya.
Sementara itu, kempen ‘Awak OK Tak?’ dianjurkan bagi memupuk budaya bertanya khabar dan mendengar dengan empati, selain memperkukuh jaringan sokongan sosial.
KPWKM bersama rakan strategik akan memperluas kempen itu melalui pengedaran bahan promosi serta penganjuran aktiviti komuniti di seluruh negara. – UTUSAN










