Rampas rokok seludup RM1.1 juta - Utusan Malaysia

Rampas rokok seludup RM1.1 juta

NOR Omar Sappi menunjukkan rokok tanpa cukai yang berjaya dirampas di jalan Segari-Seri Manjung, dekat Kampung Bharu, Sitiawan, tengah malam semalam. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis merampas 24,790 karton rokok bernilai RM1.1 juta dipercayai rokok seludup dalam tangkapan di tepi jalan raya Segari-Seri Manjung dekat Kampung Bharu, Sitiawan, tengah malam semalam.

Dalam rampasan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, polis menahan tiga lelaki berusia 29 hingga 56 tahun yang memandu dua lori bagi membawa muatan 377 kotak menyimpan rokok tersebut dan sebuah kereta Perodua Kancil sebagai pemandu arah dan ‘tonto’ bagi mengawasi sebarang pergerakan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tangkapan terbesar di daerah Manjung dalam tempoh tiga tahun itu berjaya dilakukan selepas risikan pihaknya sejak dua minggu lalu.

“Ketiga-tiga suspek berasal dari daerah Manjung dan bekerja sendiri dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala dua lori digunakan itu masing-masing berdaftar dengan dua syarikat beralamat di Batu Caves dan Petaling Jaya di Selangor.

“Polis sedang menyiasat sama ada dua syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan rokok ini,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga memberitahu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,364 serta lima telefon bimbit daripada ketiga-tiga suspek.

Jelas beliau, siasatan awal ketiga-tiga suspek mendakwa mereka hanya menjalankan tugas membawa rokok tanpa cukai tersebut ke destinasi yang diarahkan sindiket terlibat dengan upah sebanyak RM5,000.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk mengesahkan dakwaan mereka dan polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga adalah anggota sindiket penyeludupan atau sebagai ‘transporter’ sahaja.

“Kami juga masih menyiasat sama ada rokok tersebut untuk diturunkan di Manjung atau daerah ini hanya sebagai laluan kenderaan tersebut ke destinasi tertentu, tetapi kita percaya kemungkinan rokok itu datang dari luar Perak,” jelasnya.

Nor Omar menegaskan pihak polis akan terus mempertingkat usaha menjalankan operasi dan serbuan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam membendung kegiatan mengedar atau menjual rokok tanpa cukai di daerah Manjung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN