BUKIT MERTAJAM: Syarikat pengendali aplikasi sistem tempat letak kenderaan pintar, Penang Smart Parking (PSP) iaitu HeiTech Padu Berhad memberi jaminan insiden baki akaun dalam e-dompet yang bertukar menjadi RM4.40 tidak akan berulang pada masa depan.
Naib Presiden Eksekutif HeiTech Padu, Abdul Halim Md. Lassim berkata, jaminan itu diberi selepas sistem tersebut pulih secara berperingkat-peringkat mulai petang semalam.
Katanya, insiden yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku akibat gangguan teknikal sepenuhnya.
“Bagi pihak syarikat, saya memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna dan insiden itu bukan disebabkan oleh serangan siber seperti yang ditularkan sebelum ini.
“Integriti data pengguna masih kekal dan baki asal mereka juga telah dikembalikan seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa negeri, Jagdeep Singh Deo hadir pada majlis pemasangan alat pengesan atau peranti elektronik internet pelbagai benda (IoT) jenis kamera litar tertutup (CCTV) bagi sistem PSP di Bandar Perda, di sini hari ini.
Dalam kejadian semalam, rata-rata pengguna PSP dilaporkan panik apabila baki akaun mereka secara tiba-tiba bertukar kepada RM4.40 walaupun kebanyakannya memiliki jumlah baki yang lebih tinggi.
Sementara itu, Jagdeep berkata, mana-mana pengguna yang berdepan masalah kompaun akibat kesilapan teknikal itu boleh berhubung terus dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atau Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut.
“Sejak dua tahun lalu, sistem PSP ini telah naik taraf sehingga tujuh kali demi kebaikan pengguna dan masih mendapat sambutan yang baik setakat ini.
“Sehingga kelmarin, sistem ini telah dimuat turun sebanyak 746,687 kali dan digunakan secara aktif oleh 300,370 pengguna di negeri ini,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, sebanyak 12,000 petak tempat letak kereta di bawah kendalian MBPP telah dipasang dengan sistem pengesan dan 24,000 lagi sistem pengesan yang sama turut diwartakan untuk dipasang di Seberang Perai.
Bagaimanapun katanya, kira-kira 1,715 daripada keseluruhan 24,000 petak tempat letak kereta itu akan dipasang dengan sistem pengesan jenis CCTV untuk memantau keadaan di sekitar kawasan tempat letak kereta itu pada masa yang sama.










