PARIT: Polis menahan dua lelaki dan merampas 30 mesin melombong mata wang digital bitcoin di sebuah premis di Seri Iskandar, semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, serbuan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dengan kerjasama pasukan jurutera Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai melakukan penyambungan wayar elektrik secara haram bagi membolehkan aktiviti perlombongan bitcoin dijalankan.
“Hasil operasi itu, polis merampas 30 mesin melombong bitcoin, sebuah router internet, sebuah desktop switch dan segulung wayar elektrik.
“Dua lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN










