Program Jualan Keluarga Malaysia KPDNHEP bantu persiapan Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Program Jualan Keluarga Malaysia KPDNHEP bantu persiapan Tahun Baharu Cina

SEORANG pelanggan memilih barang keperluan dapur sempena Program Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasar Raya Econsave, bandar Jerantut, di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) cawangan Jerantut telah mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasar Raya Econsave, bandar Jerantut bermula semalam hingga hari ini. 

Ketua Penguatkuasa PKPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, PJKM bertujuan membantu pengguna di daerah ini serta berdekatan untuk mendapat bekalan harian khususnya bagi kaum Tionghoa membuat persiapan menyambut perayaan tersebut.

“Pengguna juga dapat menjimatkan perbelanjaan apabila memperoleh barang dapur dengan harga yang yang berpatutan semasa PJKM diadakan di pasar raya ini di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (Tahun Baharu Cina) yang berkuatkuasa pada 29 Januari hingga 4 Februari ini.

“Usaha KPDNHEP menerusi PJKM cukup relevan dan berkesan untuk meringankan kos sara hidup rakyat khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Mubin, lanjutan PJKM di Pasar Raya Econsave itu merupakan saranan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah semasa pelancaran pada awal bulan ini. 

Katanya, Nazri mencadangkan program jualan itu dilanjutkan di semua pasar raya yang dipilih KPDNHEP untuk keselesaan pengguna berbelanja selepas musim tengkujuh dan menyambut perayaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan Akta Timbang dan Sukat antara kes yang tertinggi melibatkan kecuaian peniaga telah dikenakan kompuan oleh PKPDNHEP cawangan Jerantut sejak tahun lalu sehingga akhir bulan ini.

“Sehingga ini sebanyak sebanyak 76 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta perdagangan dengan kompaun bernilai RM20,400 dikenakan ke atas peniaga yang cuai ketika operasi pemantauan dan pemeriksaan di premis kawasan bandar, pinggir dan luar bandar di Jerantut dan Lipis.

Sementara itu, seorang pengunjung Pasar Raya Econsave, Janet Lee, 45, berkata, dia sekeluarga mengambil kesempatan sempena PJKM di bawah penyelenggaraan PKPDNHEP di sini untuk berbelanja barang keperluan menyambut Tahun Baharu Cina minggu ini.

“Saya pulang dari Johor Bharu ke Kampung Sungai Jan tahun ini untuk meraikan ‘makan besar’ bersama ibu bapa dan keluarga terdekat yang memerlukan persiapan banyak barang keperluan dapur untuk beberapa hari bercuti di sini.

“Program jualan ini termasuk Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (Tahun Baharu Cina) memang bertepatan untuk meringankan perbelanjaan pengguna yang kini sedang dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19 dan musim tengkujuh yang baru sahaja berlalu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya