BENTONG: Lebih RM5 juta dibelanjakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bagi membantu ahli koperasi terjejas musibah banjir dan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Presiden Angkasa, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini lebih 70,000 individu memerlukan dibantu dan disantuni di seluruh negara.
Beliau berkata, sumbangan diberikan dalam bentuk barangan keperluan asas menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) sebagai tanda cakna yang selari dengan prinsip berkoperasi.
“Sumbangan itu diberikan bukan sahaja kepada ahli koperasi yang terkesan banjir, tetapi mereka yang terkesan dengan Covid-19 termasuk petugas barisan hadapan seperti kakitangan hospital dan anggota keselamatan.
“Bagaimanapun, sasaran utama adalah ahli koperasi dan mereka yang terbabit secara langsung dalam membantu meringankan beban rakyat termasuk bagi aktiviti sukarelawan membersihkan kediaman mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan CSR Coopcare Angkasa Prihatin Pasca Banjir kepada anggota Koperasi di Pejabat Perhubungan Angkasa di sini semalam.
Abdul Fattah berkata, sebagai badan gerakan koperasi terbesar yang diiktiraf kerajaan, pihaknya menyeru warga koperasi sama-sama memainkan peranan aktif menggerakkan anggota untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
“Sumbangan Angkasa adalah sebagai sokongan kepada kerajaan negeri dan pusat dalam membantu rakyat menghadapi kesulitan seperti musibah banjir,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, Angkasa telah menubuhkan Pasukan Sukarelawan Koperasi bagi membantu membersihkan rumah ahli yang terkesan musibah banjir.
“Kita juga mencadangkan 4,600 koperasi di seluruh negara proaktif menubuhkan skuad prihatin masing-masing yang selari dengan prinsip berkoperasi yang saling membantu,” katanya. – UTUSAN










