PRN Johor: Pas bukan pengemis - Abdul Hadi Awang - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pas bukan pengemis – Abdul Hadi Awang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas tidak sesekali mengemis daripada parti-parti lain semata-mata untuk menuntut kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas mempunyai kekuatan tersendiri dengan kewujudan jentera di semua 197 kawasan seluruh negara di samping mempunyai lebih satu juta ahli. 

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini Pas belum memutuskan soal agihan kerusi dalam PRN berkenaan, malah tiada rundingan dibuat dengan mana-mana pihak termasuk UMNO. 

“Soal kerusi belum ditentukan tetapi ada khabar angin, dulu di Melaka kita nak diberi dua kerusi manakala di Johor pula empat kerusi. 

“Takkan kita nak minta sedekah kerusi-kerusi ini, Pas tidak minta sedekah kerana ada kekuatan tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin menafikan mereka menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada 15 kerusi yang diberikan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya, Abdullah berkata, sehingga kini masih tiada sebarang perbincangan mengenai pengagihan kerusi yang dibuat antara kedua-dua parti berkenaan. 

Isu agihan kerusi itu timbul susulan tular video Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mempersoal kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya