IPOH: Timbalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu enggan mengulas mengenai pendirian Pas yang dilihat mahu menjalin kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya beliau berkata, Bersatu akan mengambil bahagian dalam PRN Johor termasuk mengadakan perbincangan bersama parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah pun dibubarkan dan kita hormati keputusan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Tentunya Bersatu akan mengambil bahagian di mana kita akan berbincang dengan rakan-rakan strategik dalam PN untuk turut sama dalam PRN itu.
“Terima kasih kerana mencuba (soalan berkaitan kerjasama Pas) namun saya tiada komen,” jelas beliau dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan akan menyertai PRN Johor namun belum memutuskan bentuk kerjasama parti itu sama ada dengan parti lain atau bertanding secara solo.
Beliau berkata, sebagai parti yang mengutamakan penyatuan ummah, Pas sedia berunding dan berbincang sama ada dengan UMNO mahupun Bersatu.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya berharap penyatuan Muafakat Nasional (MN) dapat direalisasikan pada PRN Johor.
Menurut beliau, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Ibrahim berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN Johor yang disembah maklum Hasni di Istana Bukit Serene, Johor Bahru semalam.
Pembubaran DUN itu menjadikan Johor sebagai negeri seterusnya yang akan mengadakan PRN selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.