PETALING JAYA: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengambil langkah segera untuk bertindak sebagai pengantara berhubung isu remaja mandi jenazah, baru-baru ini seperti saranan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaska,n pihaknya akan meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam berkenaan dan sesegera mungkin mengambil langkah yang perlu dalam membantu sebagai Sahabat Mahkamah dalam melaksanakan perkara berkenaan.
“Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam mengetepikan kukuman yang dikenakan Mahkamah Majistret Selayang dan menggantikannya dengan hukuman khidmat masyarakat di atas terma-terma yang ditetapkan.
“Pihak mahkamah kemudiannya memberi saranan kepada kesemua pihak terbabit dalam hukuman masjid untuk mandi jenazah dan rakaman serta tularan rakaman kejadian itu iaitu pihak Imam dan AJK Masjid, individu merakam dan menularkan serta semua ahli keluarga Daniel Iskandar untuk cuba selesaikan perkara tersebut dengan cara terbaik dengan bantuan PPMM sebagai pengantara.
“Setakat mana yang mampu dan PPMM akan seterusnya memajukan laporan lengkap yang berkaitan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel, selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
Sebaliknya, remaja terbabit diarah melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tempoh tujuh hari dan diingatkan untuk wajib hadir mengikut jadual serta mematuhi aktiviti khidmat masyarakat, selama 120 jam sepanjang enam bulan.
Susulan semakan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Daniel kini mempunyai rekod bersih daripada hukuman berkenaan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman oleh Mahkamah Majistret Selayang tidak mencerminkan bentuk pemulihan. – UTUSAN ONLINE