Kes pendaki terkandas di Gunung Fuji menurun selepas peraturan diketatkan

Kes pendaki terkandas di Gunung Fuji menurun selepas peraturan diketatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Bilangan pendaki yang terkandas di Gunung Fuji dari laluan Prefektur Shizuoka menurun sebanyak 44 peratus tahun ini berbanding 2024, tanpa sebarang kematian dilaporkan.

Jumlah itu direkodkan selepas peraturan yang lebih ketat diperkenalkan, termasuk kawalan terhadap aktiviti pendakian malam tanpa rehat.

Gunung tertinggi di Jepun yang terletak di barat daya Tokyo itu sering berdepan pelbagai masalah berkaitan pendaki.

Data daripada pihak berkuasa menunjukkan hanya 36 pendaki memerlukan bantuan sepanjang musim 2025 dari Julai hingga September, berbanding 64 orang pada tahun sebelumnya, termasuk enam kematian.

Terdapat juga isu dengan pendaki yang membawa peralatan minimum atau berpakaian terlalu kasual, seperti kemeja-T, seluar pendek dan sandal.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengelakkan orang ramai mendaki secara melulu, Prefektur Shizuoka menggandakan yuran asuk kepada 4,000 yen (RM112) pada tahun 2025, serta melarang pendaki memasuki laluan antara pukul 2 petang hingga 3 pagi kecuali mereka yang membuat tempahan di pondok gunung.

Langkah keselamatan sama turut dilaksanakan Prefektur Yamanashi, yang mempunyai satu daripada empat laluan pendakian ke Gunung Fuji, manakala tiga lagi bermula dari Prefektur Shizuoka.

Sejak penguatkuasaan peraturan ini pada 2024, Yamanashi juga mencatatkan penurunan ketara dalam kes penyelamatan di gunung tersebut, menandakan kejayaan awal dalam usaha meningkatkan keselamatan pendaki dan mengurangkan risiko insiden.

Walaupun pelbagai langkah keselamatan diperkenalkan semasa musim pendakian, pihak berkuasa tempatan melaporkan kemalangan masih berlaku di luar musim rasmi pendakian.

Insiden ini melibatkan pelancong asing yang melawat semasa musim pendakian ditutup dan tidak berpeluang mendaki ketika gunung dibuka, serta penduduk tempatan yang membuat keputusan untuk mendaki tanpa persiapan sewajarnya.

Pada Jun 2024, tiga lelaki warga Jepun berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an ditemukan mati berhampiran kawah Gunung Fuji.

Sementara itu, seorang warga Amerika Syarikat berusia 60-an diselamatkan selepas mengalami hipotermia pada 2025 ketika cuba mendaki semasa gunung ditutup kepada orang awam.

Dalam satu kejadian lain pada April, seorang pelajar universiti warga China terpaksa diselamatkan menggunakan helikopter selepas jatuh sakit berhampiran puncak.

Empat hari kemudian, beliau sekali lagi perlu diselamatkan kerana masalah kesihatan ketika cuba kembali ke gunung itu untuk mengambil telefon pintarnya yang tertinggal.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai bahawa mendaki Gunung Fuji di luar musim yang ditetapkan amat berbahaya, kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, suhu yang sangat sejuk, dan ketiadaan perkhidmatan penyelamatan aktif.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×