GEORGETOWN: Polis akan bekerjasama dengan pihak pengurusan kuil bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam di negeri ini dipatuhi semua pihak bagi mengekang penularan Covid-19.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, SOP rasmi untuk perayaan itu juga akan diumumkan dengan lebih terperinci oleh agensi berkenaan dalam tempoh terdekat.
“Pihak kuil juga memainkan peranan memaklumkan kepada penganut masing-masing mengenai SOP seperti berapa jumlah yang boleh datang ke kuil serta sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) memberi jaminan sambutan Thaipusam di Pulau Pinang akan mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi PHEB, Dr. P. Ramasamy berkata, setakat ini MKN masih belum mengeluarkan SOP terkini mengenai sambutan Thaipusam dan pihaknya bersedia menyelaraskan SOP mengikut arahan MKN untuk keselamatan semua pihak.
Menurut Mohd. Shuhaily, menerusi makluman yang diterima polis perarakan dua pedati adalah dibenarkan di Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam itu.
“Perarakan pedati dibenarkan dalam kuantiti ditetapkan iaitu tidak lebih 1,000 orang, untuk perarakan ini polis akan berbincang dengan pihak kuil supaya berjalan lancar nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis akan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP pencegahan penularan Covid-19 selepas ini.
“Pada masa ini sebanyak 10 kes Covid-19 melibatkan varian Omicron telah dikesan di Pulau Pinang. Kita masih mengambil pendekatan menasihati mereka yang gagal mematuhi SOP, selepas ini polis akan bertindak lebih tegas kepada mereka yang masih ingkar,” katanya.










