DUBAI: Draf perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran didakwa akan merangkumi beberapa komitmen penting yang bertujuan mengurangkan ketegangan dan menstabilkan rantau itu, menurut salinan dokumen diperoleh Al Arabiya.
Al Arabiya tidak menyatakan dari mana dokumen tersebut diperoleh.
Perjanjian yang dicadangkan itu menggariskan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menunjukkan penekanan baharu terhadap penglibatan diplomatik dan pematuhan kepada norma global.
Komponen utama draf itu adalah pelonggaran secara berperingkat sekatan AS ke atas Iran, dengan Teheran berjanji untuk mematuhi sepenuhnya syarat yang digariskan dalam perjanjian tersebut sebagai balasan.
Antara perkara lain termasuk jaminan kebebasan pelayaran di Teluk Arab, Selat Hormuz dan Laut Oman, serta komitmen bersama untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah, selain janji tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing.
Perjanjian itu turut merangkumi klausa yang melarang sebarang serangan terhadap infrastruktur ketenteraan, awam dan ekonomi, namun butiran mengenai program nuklear Iran masih belum dimuktamadkan.
Perjanjian berkenaan dijangka akan berkuat kuasa serta-merta selepas pengumuman rasmi oleh Washington dan Teheran.- AGENSI










