PM memang UMNO, tapi parti tidak kuasai kerajaan - Utusan Malaysia

PM memang UMNO, tapi parti tidak kuasai kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : UMNO berada dalam kedudukan dilema yang tidak pernah berlaku sebelum ini meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada parti itu namun pada hakikatnya mereka tidak menguasai kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, justeru itu beliau sangat bersimpati dengan kedudukan Ismail Sabri pada hari ini yang menerima desakan untuk melakukan rombakan Kabinet ekoran kelemahan anggota Jemaah Menteri sedia ada.

Kata beliau, hal ini kerana Perdana Menteri tiada pilihan untuk melantik mana-mana wakil rakyat untuk menggantikan Jemaah Menterinya yang gagal kerana tidak punyai banyak pilihan di dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan yang sedia ada.

 “Umum pun tahu, beliau mewarisi Jemaah Menteri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang itu. Hampir semua penyumbang Kerajaan PN yang gagal itu terus berada dalam kerajaan Ismail Sabri.

“Hendak dibuang siapa dan siapa gantinya sangat tertakluk kepada sokongan parti masing-masing. Silap perhitungan, mereka akan menarik sokongan terhadap PM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Mohamed Khaled menambah, terus menyalahkan Perdana Menteri kerana kelemahan ketara kerajaan adalah satu perkara mudah tetapi jika semua pihak berada pada kedudukan beliau, mungkin masing-masing sukar melakukan apa sepatutnya.

Katanya, Ismail Sabri bukan tidak mengerti bahawa keyakinan rakyat terhadap kerajaannya semakin menurun drastik, sebaliknya kedudukan beliau sangat bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan sekarang dan amat menyukarkan.

“Yang terpukul ialah UMNO kerana setiap kelemahan kerajaan, UMNO yang akan menerima bukan sekadar tempias, tetapi ‘the hurricane of people’s anger’,” jelas beliau.

Namun begitu Mohamed Khaled menegaskan, namun UMNO tidak boleh membiarkan Perdana Menteri terus keseorangan memandangkan beliau adalah mewakili dan menjadi suara parti.

“Kalau beliau gagal, UMNO yang dituduh gagal. Perdana Menteri pasti mengerti ini. Jadi UMNO tidak boleh membiarkan perkara ini terusan begini kerana kita tidak mahu kebencian rakyat terhadap Pakatan Harapan dan PN sebelum ini menjatuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

“Parti sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar daripada kemelut ini. Tetapi buat masa sekarang, dilema UMNO ini akan berterusan,” terang Mohamed Khaled.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya