Pindaan Akta 342: Penting tapi prosesnya mesti betul  - Utusan Malaysia

Pindaan Akta 342: Penting tapi prosesnya mesti betul 

KELVIN YII LEE WUEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi mempertimbang dan meneliti pilihan lain bagi memastikan pematuhan terhadap pindaan Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342 dengan lebih baik. 

Pengerusinya, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, hal itu bagi mengimbangi undang-undang berkenaan tidak disalah guna pihak tertentu jika pindaannya diluluskan Dewan Rakyat. 

“Jawatan kuasa akan terus menumpukan perhatian kepada hala tuju dasar rang undang-undang dan cuba mencapai kesepakatan bagi memastikan kita mengimbangi keperluan kemas kini dalam isu penyakit berjangkit. 

“Ini terutama apabila ia datang dengan penguatkuasaan yang tidak wajar dan golongan rentan yang menjadi mangsa. 

“Walaupun rang undang-undang ini mungkin penting, tetapi prosesnya mestilah betul. Kerajaan tidak seharusnya cuba menjentik mana-mana rang undang-undang terutama apabila melibatkan isu kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan jawatankuasa berkenaan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Hisham Abdullah serta beberapa pegawai kementerian terbabit di Parlimen semalam. 

Yang hadir sama dalam mesyuarat itu ialah panel luar terdiri daripada pakar penyakit berjangkit negara, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia )MMA), Dr. Koh Kar Chai dan Setiausaha Agungnya, Dr. Thirunavukarasu Rajoo; Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia, Dr. Steven Chow dan salah seorang penggubal rang undang-undang Akta 342, Dr. Lim Kuan Joo. 

Pada Disember tahun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Azmi Ghazali membentangkan pindaan akta 342 bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu.

Mengikut rang undang-undang tersebut, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini selain mencadangkan syarikat yang melakukan kesalahan saman dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Tidak lama selepas itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pindaan akta berkenaan yang sepatutnya diputuskan pada 20 Disember tahun lalu ditangguhkan ke sidang Parlimen bermula 28 Februari ini selain mendapat bantahan pelbagai pihak. 

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, pihaknya telah menyuarakan kebimbangan mengenai akta tersebut kepada Khairy dan Noor Hisham. 

“Jumlah denda yang ditetapkan kerajaan perlu berasas dan menjadi penanda aras terhadap amalan negara lain, selain kewajaran denda yang tinggi akan meningkatkan tahap pematuhan. 

“Isu penguatkuasaan terpilih dan tidak terkawal yang mungkin membawa kepada rasuah dan cara melindungi orang ramai daripada perkara itu turut dibangkitkan. 

“Kesemuanya perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat seterusnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN