fbpx

Perkeso buka permohonan enam program 

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuka permohonan bagi enam program di bawah Bajet 2022 sejak 1 Januari lalu. 

Bahagian Komunikasi Strategik Perkeso berkata, program itu adalah SIP Subsidi Upah Bersasar (PSU 5.0) yang permohonannya dibuka sehingga 31 Mac ini dengan insentif kewangan diberikan sebanyak RM600 sebulan setiap pekerja selama tiga bulan dan terhad kepada 500 orang bagi setiap perusahaan. 

Selain itu, Perkeso membuka permohonan bagi SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+) menyaksikan tahun ini, bantuan kewangan turut diberikan kepada pencarum dan bukan pencarum Perkeso. 

Katanya, permohonan itu dibuka selama enam bulan yang berakhir 30 Jun 2022 (pencarum Perkeso) manakala individu bukan pencarum Perkeso dibuka selama 12 bulan iaitu sehingga 31 Disember 2022. 

“Program ini bertujuan menambah baik faedah Perkeso bagi pekerja yang hilang pekerjaan atau menganggur pada jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Perkeso berkata, permohonan dibuka bagi program SPS Padanan Caruman dengan bantuan dalam bentuk pembiayaan padanan caruman di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS yang akan dibiayai kerajaan sebanyak 80 Peratus (RM186.20) dan 20 peratus (RM46.60) perlu dibayar Orang Bekerja Sendiri (OBS). 

“Untuk golongan ini daripada kategori Orang Asli, pekerja gig, penjaja, orang kurang upaya (OKU) pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita, mereka boleh memohon insentif ini untuk dilindungi di bawah SKSPS Perkeso selama setahun. 

“Melalui SPS Khidmat pula, OBS yang tergolong dalam kategori anggota pasukan sukarelawan, pekhidmat rumah ibadat Islam (Jakim), penyelia dan petugas pemulihan komuniti dan penjawat awam berstatus kontrak layak memohon program ini yang akan dibuka sehingga 31 Disember 2022,” katanya. 

Dalam pada itu, dalam program JaminKerja – Insentif Penggajian, majikan daripada semua kategori industri berdaftar dengan Perkeso sebelum 1 Januari 2022 boleh menikmati insentif maksimum RM36,000 setiap pekerja yang digajikan dalam tempoh 12 bulan. 

Sementara itu, program SIP Gig pula menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM600 sehingga RM800 sebulan selama maksimum enam bulan kepada individu yang bekerja dalam sektor tidak formal atau ekonomi gig melalui platform berdaftar di bawah Perkeso untuk jangka masa pendek. 

“Permohonan insentif telah dibuka mulai 17 Januari sehingga 30 Jun 2022. Individu yang tergolong dalam kumpulan diberikan notis tanpa gaji, diberhentikan kerja, menganggur lebih 60 hari, pencari kerja daripada golongan terjejas atau suri rumah tidak bekerja lebih dari enam bulan juga boleh memohon di bawah program ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN