SERI KEMBANGAN: Jenazah Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali akan disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya bersebelahan pusara Allahyarhamah Tun Endon Mahmood.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan berkenaan dibuat pihak keluarga Allahyarhamah dan telah dimaklumkan kepadanya.
Katanya, semua stesen radio dan televisyen turut diarahkan menyesuaikan rencana serta rancangan masing-masing sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan sumbangan arwah.
“Saya juga telah mengarahkan semua stesen radio dan televisyen supaya mengubah suai rencana dan rancangan sepanjang hari ini agar bersesuaian dengan penghormatan yang kita berikan kepada Allahyarhamah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Dr. Siti Hasmah di Mines Resort City, di sini hari ini.
Pada masa sama, Fahmi turut menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai ketentuan Ilahi, selain menegaskan jasa beliau sebagai seorang ibu dan doktor akan sentiasa dikenang.
“Allahyarhamah sememangnya membawa makna besar kepada ramai pihak dan pemergiannya amat dirasai,” katanya.
Terdahulu, Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi.
Pemergian Allahyarhamah disahkan oleh anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir.-UTUSAN











