Perhilitan Perak tangkap Yob Tawai - Utusan Malaysia

Perhilitan Perak tangkap Yob Tawai

GAJAH dinamakan Yon Tawai (tengah) diapit gajah denak, Abot (kanan) dan Rambai untuk dibawa menggunakan treler khas bagi proses pemindahan ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah jantan seberat 2.3 tan di Ladang Felda Tawai di sini Selasa lalu.

Gajah berusia antara 10 hingga 11 tahun itu ditangkap selepas Perhilitan Perak menerima aduan berhubung kehadiran mamalia tersebut di kawasan berkenaan, Disember lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tersebut hari ini mendapati, proses pemindahan haiwan liar yang dinamakan Yob Tawai itu bermula pukul 9 pagi.

Seramai 22 orang terdiri daripada kakitangan Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) serta dua doktor vaterinar terlibat dalam operasi tersebut.

Dua ekor gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai dari PKGK digunakan bagi ‘memujuk dan menenangkan’ Yob Tawai untuk dibawa ke lokasi seterusnya.

Dalam operasi hampir lima jam itu, Yob Tawai dibawa menaiki treler khas untuk dihantar ke Taman Negeri Royal Belum dekat sini.

Difahamkan, kehadiran gajah itu disedari pihak felda sejak 24 Disember lalu sebelum memaklumkan kepada Perhilitan Perak untuk tindakan lanjut.

Usaha menangkap haiwan itu berdepan kesukaran berikutan kawasan berkenaan tidak mempunyai pokok besar untuk berlindung sekiranya gajah berjaya ditangkap.

Gajah dari kumpulan Hutan Simpan Piah itu dipercayai diusir keluar daripada kumpulan gajah jantan yang dominan sebelum ditemui berkeliaran di ladang berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan mengenai operasi pemindahan mamalia itu hari ini.

Seorang pekerja ladang, Rozali Mohd. Zin, 42, berkata, dia terserempak dengan haiwan liar itu minggu lalu semasa melakukan rutin rondaan di kawasan berkenaan.

“Haiwan itu biasanya ditemui pada waktu petang dan malam. Rasa gementar juga tengok gajah itu walaupun dari jauh. Sejak kehadiran haiwan itu, banyak pokok pisang dan getah yang dimusnahkannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN