Perhilitan buntu buru babi di Tanjung Kling - Utusan Malaysia

Perhilitan buntu buru babi di Tanjung Kling

KHAIRULAZNI Baharuddin (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada seorang anggota Perhilitan sewaktu meninjau kebun seorang penduduk yang dimusnahkan babi hutan di Kampung Kelongkong, Tanjung Kling, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) buntu dalam operasi memburu babi hutan yang mengganggu penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling di sini, kerana gagal menemukan haiwan terbabit sejak petang kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, operasi menembak babi bermula pukul 5.30 petang hingga 11 malam, namun haiwan itu langsung tidak kelihatan.

“Pada awalnya, anggota Perhilitan meletakkan umpan dan menunggu tidak jauh dari situ untuk memancing babi keluar dari hutan dan mencari makan.

“Namun, setelah menunggu hampir dua jam, tidak nampak tanda-tanda pergerakan haiwan itu mencari umpan yang telah dipasang,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kehadiran kumpulan babi hutan di Kampung Kelongkong bukan sahaja merisaukan penduduk sekitar, namun turut merosakkan tanaman seperti ubi, nanas dan juga pagar kebun peladang.

Lebih parah apabila ia juga didakwa mengejar kanak-kanak yang bermain di luar rumah termasuk penunggang motosikal.

Khairulazni menambah, operasi meredah hutan berhampiran hingga ke Balai Polis Tanjung Kling terpaksa dihentikan setelah hampir tujuh jam berlangsung.

“Saya sendiri pun hairan, anggota Perhilitan meredah hutan langsung tak jumpa sebarang jejak atau kelibat haiwan itu.

“Operasi menembak babi tersebut akan diteruskan hingga esok (Khamis). Jika gagal, Perhilitan akan memasang perangkap,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya