PETALING JAYA: Pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu dirombak bagi menjamin mutu dan kualiti bola sepak tempatan.
Itu merupakan pandangan peribadi yang disuarakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, Khairy tidak menafikan jasa dan peranan yang dimainkan oleh pengurusan tertinggi badan induk itu ketika ini.
“Saya fikir pengurusan sedia ada sudah melakukan tugas mereka dengan baik tetapi oleh kerana kita mahu lihat untuk lima atau 10 tahun akan datang, saya fikir sudah tiba masa untuk peralihan di FAM.
“Mungkin boleh dipertimbangkan calon daripada luar pengurusan sukan. Saya suka individu daripada sektor korporat kerana mereka mempunyai komitmen terhadap pengurusan dan tata kelola yang bagus.
“Saya tidak mahu salahkan pengurusan yang sedia ada tetapi pengurusan dan tata kelola itu perlu dimantapkan lagi,” kata Khairy ketika ditemui pemberita.
Khairy pernah memegang Timbalan FAM dari 2007 hingga 2010 menolak dakwaan selepas namanya dikaitkan dengan kerusi No. 1 badan induk tersebut berikutan jawatan tersebut memerlukan komitmen yang tinggi.
“Itu saya tidak tahu timbul daripada mana. Saya tidak fikir nak kembali ke FAM walaupun saya pernah menjadi Timbalan FAM. Saya tak fikir untuk kembali kerana ada calon yang lebih layak untuk terajui FAM.
“Saya tiada masa untuk ambil peranan tersebut (Presiden FAM). Kalau tiada masa, saya rasa tidak adil untuk FAM kalau saya nak cuba nasib untuk pemilihan akan datang,” katanya.-UTUSAN










