SHAH ALAM: DAP Selangor optimis Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu biarpun berdepan calon Melayu daripada Perikatan Nasional (PN).
Naib Pengerusinya, Datuk Ng Suee Lim berkata, Pang Sock Tao dipilih parti itu sebagai calon kerana kredibiliti dan semangat tinggi mahu berkhidmat kepada rakyat dan dia sememangnya agak terkejut apabila PN mempertaruhan calon Melayu semalam.
“Namun, calon Kerajaan Perpaduan (Sock Tao) yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah seorang wanita muda bertenaga dan berpengalaman luas.
“Justeru, saya yakin dia mampu memperoleh kemenangan termasuk meraih undi daripada kaum Melayu dan kaum lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Sawasdee Thailand 2024, hari ini.
PN menamakan Khairul Azhari Saut, 54, yang juga pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor sebagai calon bagi blok pembangkang itu.
Mengulas lanjut, kata Suee Lim, pihaknya mengakui calon PN mungkin menggunakan strategi meletakkan calonnya bagi menarik undi kaum Melayu.
PRK N.06 Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei depan manakala 27 April bagi hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – UTUSAN










