Penjawat awam hamil dua bulan edar syabu - Utusan Malaysia

Penjawat awam hamil dua bulan edar syabu

SYABU seberat 42 gram yang dirampas polis dalam serbuan di Pulau Gadong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita yang hamil dua bulan diberkas bersama suaminya selepas dipercayai mengedar dadah jenis syabu di Pulau Gadong di sini, semalam.

Suspek yang juga seorang penjawat awam dan suami berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka.

Ketua JSJN Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, hasil serbuan pasukan polis menemui sebanyak 42 gram dadah dipercayai syabu dan juga empat biji pil disyaki pil yaba. 

“Hasil maklumat awam, satu serbuan telah dijalankan oleh pasukan JSJN Melaka dan kita telah menahan sepasang suami isteri selepas menemukan dadah disyaki syabu serta pil yaba bernilai RM4,240. Kesemua dadah itu dijumpai di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek lelaki yang juga seorang buruh mengakui aktif mengedar  barang terlarang itu sejak sebulan lalu. 

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah syabu, manakala  isterinya negatif.  Si suami mengaku telah mengedar dadah sejak sebulan lalu di kawasan sekitar,” katanya. 

Pasangan itu kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah  Seksyen 39A (2) Akta Dadah (ADB) Berbahaya 1952. 

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Zulkiflee berkata, seramai empat penjawat awam telah ditahan atas kesalahan dadah sepanjang tahun ini sehingga semalam.

“Semua mereka terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah berdasarkan rampasan 1,248 gram ganja, 48.95 gram syabu, empat biji pil yaba dan 27.6 liter air ketum. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,331 dan disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (2), 39 (A) (1) ADB 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.