Ketua Hakim diketahui hari ini

Ketua Hakim diketahui hari ini

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Ke-269 di Istana Negara, semalam. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Berangkat sama, Yang Amat Mulia, Tunku Idris Iskandar sebagai wakil rasmi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim. – FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Krisis kehakiman bakal berakhir apabila Majlis Raja-Raja akan mengumum­kan pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan perbinca­ngan panjang bersama Majlis Raja-Raja pagi semalam dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.

“Kini, setelah lebih dua setengah tahun saya meme­gang jawatan, saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana hakim tentang sebarang kes, tidak dengan Ketua Hakim Negara, mahupun dengan mana-mana hakim lain.

“Saya memegang teguh prinsip kebebasan badan kehakiman. Namun begitu, saya akui terdapat beberapa kebimba­ngan yang diluahkan dan saya ambil maklum akan perkara itu,” katanya berucap pada Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di sini, semalam.

Jawatan Ketua Hakim Negara kosong susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 30 Jun lalu.

Kelewatan mengisi jawatan itu telah mencetuskan polemik mengenai integriti badan kehakiman yang dikaitkan de­ngan campur tangan pihak tertentu dalam pelantikan jawatan tertinggi kehakiman.

Malah, Majlis Peguam kelmarin mengadakan perarakan bagi menyerahkan memorandum, menggesa kerajaan segera menyelesaikan empat tuntutan mereka termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman.

Anwar berkata, kebimba­ngan itu timbul akibat kelewatan pe­lantikan hakim serta tanggapan bahawa terdapat pelantikan ke jawatan penting dalam badan kehakiman yang mungkin di­kompromi, dengan pencalonan calon-calon yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak.

Beliau memberi jaminan, perkara itu tidak berlaku se­perti tanggapan pihak-pihak tertentu.

“Saya percaya rakan-rakan dalam bidang perundangan memahami bahawa kita mesti bertindak berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan berdasarkan persepsi.

“Soal persepsi itu kita serahkan kepada ahli politik. Hanya dengan cara ini kita boleh terus mentadbir negara dengan baik.

“Insya-Allah, esok (hari ini) akan ada satu pengumuman yang bakal menepis segala persepsi negatif yang tersebar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani mewarisi sis­tem dalam keadaan ketika wujud banyak perbincangan me­ngenai rasuah yang berlelua­sa dan tadbir urus yang lemah, maka tiba masanya untuk me­lak­sanakan semua perubahan yang perlu.

Beliau turut mengulas persepsi yang timbul berkaitan proses pelantikan dalam badan kehakiman yang dikaitkan dengan tekanan politik.

“Saya harap perkara ini tidak menjejaskan kedudukan Majlis Peguam, kerana mereka berpegang kepada prinsip.

“Walaupun saya telah menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dengan tegas, masih ada sebahagian daripada mereka yang tidak berpuas hati, mungkin disebabkan oleh permainan politik.

“Tetapi kini, apabila dakwaan itu ternyata tidak benar, saya tidak mahu mereka berkata, ‘Tidak, tidak… kerajaan tunduk kepada tekanan’.

“Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said) tahu, Ketua Setiausaha Negara juga tahu bahawa tiada sebarang nama yang dikatakan kontroversi atau diragui pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya.

Sementara itu, Azalina ber­kata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menu­buhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, perkara itu terkandung dalam Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan dan hakim yang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ke­tua Hakim Negara.

“Perkara 125(3A) turut memperuntukkan kuasa kepada Ke­tua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703].

“Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan pia­waian tinggi kelakuan dan integriti hakim,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN