MILAN: Bekas arkitek Real Madrid, Luka Modric melengkapkan perpindahan ke AC Milan dengan kontrak setahun yang boleh dilanjutkan sehingga 2027 bersama kelab Serie A itu.
Kapten Croatia yang berusia 39 tahun itu disahkan penyertaannya oleh jurulatih baharu Milan, Massimiliano Allegri, awal bulan ini dan akan memakai jersi nombor 14 musim depan.
Modric yang dianggap salah seorang pemain tengah terhebat sepanjang zaman, mengumumkan pada Mei lalu dia akan meninggalkan Real selepas Piala Dunia Kelab.
Dia membuat 597 penampilan untuk kelab Sepanyol itu, memenangi 28 trofi termasuk empat kejuaraan LaLiga dan enam gelaran Liga Juara-Juara.
Modric bermain perlawanan terakhirnya untuk Real pada Khamis lalu, ketika masuk sebagai pemain gantian semasa pasukannya tewas 0-4 kepada Paris Saint Germain (PSG) pada separuh akhir Piala Dunia Kelab.
“Ia satu pengakhiran yang pahit. Dia adalah legenda bola sepak dunia dan Real Madrid. Dia akan dikenang atas banyak perkara baik berbanding 25 minit dia beraksi hari ini,” kata pengurus Real, Xabi Alonso.
Modric yang dianggap pemain terhebat Croatia sepanjang zaman, mewakili negaranya sebanyak 188 kali dan menjaringkan 28 gol.
Dia memenangi Anugerah Bola Emas di Piala Dunia 2018, ketika mengetuai Croatia ke perlawanan akhir buat kali pertama.
Modric juga memenangi Ballon d’Or pada tahun yang sama, menjadi pemain pertama selain Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo memenangi anugerah tahunan berprestij itu sejak 2007.
Kehadiran Modric menguatkan barisan tengah Milan yang turut menampilkan Youssouf Fofana, Yunus Musah dan Ruben Loftus-Cheek, dengan Samuele Ricci menyertai dari Torino awal bulan ini.
Milan yang gagal layak ke pertandingan Eropah selepas menamatkan musim di tangga kelapan Serie A musim lalu, akan memulakan kempen Serie A mereka menentang pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Cremonese, pada 23 Ogos. – AGENSI/UTUSAN








