RIJEKA, Croatia: Kejayaan Croatia bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Kepulauan Faroe 3-1 di Rijeka, semalam mengesahkan tiket mereka ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara dan bakal memberi penampilan kelima buat Luka Modric di kejohanan itu.
Pada aksi itu, pelawat memberi kejutan awal kepada tuan rumah menerusi ledakan Geza David Turi pada minit ke-16.
Namun begitu, Croatia bangkit dengan tiga gol menerusi jaringan Josko Gvardiol pada minit ke-23, Petar Musa (m-57) dan Nikola Vlasic (m-70) untuk memastikan naib juara Piala Dunia 2018 itu mara ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Kemenangan itu membolehkan Croatia unggul enam mata di depan Republik Czech di tangga teratas Kumpulan L dengan hanya berbaki satu perlawanan.
Penjaring gol pembukaan, Gvardiol menyifatkan sasaran awal berjaya untuk layak ke Piala Dunia telah tercapai walaupun masih berbaki satu perlawanan.
Jelasnya, walaupun sudah layak, Croatia tidak rela kehilangan mata menjelang aksi berdepan Montenegro pada Selasa ini.
“Kami dengan bangganya boleh mengatakan bahawa kami telah layak ke Piala Dunia walaupun masih berbaki satu perlawanan. Misi awal kami telah berjaya.
“Kami akan bertandang ke Montenegro untuk perlawanan terakhir dengan lebih santai tetapi tetap akan memberi aksi terbaik bagi mengutip tiga mata,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










