PHILADELPHIA: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menegaskan pasukannya sudah kembali ke tahap sebenar selepas mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Ghana untuk melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026, sekali gus menamatkan saingan Kumpulan L di tempat kedua.
Croatia yang muncul naib juara pada 2018 dan mara ke separuh akhir edisi 2022 sebelum ini dikritik selepas tewas 2-4 kepada England serta menang tipis 1-0 ke atas Panama, namun kemenangan ke atas Ghana mengembalikan keyakinan pasukan berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana mara ke peringkat kalah mati. Ia adalah perlawanan yang sukar, tetapi saya rasa Croatia bermain dengan sangat baik dari segi taktikal dan berada dalam posisi yang baik.
“Saya rasa kami kembali ke tahap seperti sembilan tahun lalu. Tetapi itu masih merupakan langkah kecil untuk mencapai objektif pertama, iaitu mara ke peringkat kalah mati,” katanya.
Dalic turut menzahirkan rasa kurang senang terhadap kritikan yang dilemparkan kepada pasukan itu selepas dua perlawanan awal, yang disifatkannya sebagai tidak adil terhadap sumbangan pemain kepada negara.
“Walaupun kalah atau menang, mereka sepatutnya disayangi kerana segala yang telah mereka lakukan untuk rakyat dan negara. Ini perlu dihargai, bukan diserang setiap kali mereka kalah,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, pemain tengah veteran, Luka Modric sekali lagi mencuri tumpuan apabila mencatat bantuan gol menerusi sepakan sudut yang disudahkan dengan tandukan Nikola Vlasic untuk gol kemenangan.
Dalic turut memuji Vlasic yang kembali dalam kesebelasan utama selepas tidak diturunkan dalam aksi menentang Panama, apabila pemain itu meledak gol penting selain hampir menambah jaringan menerusi percubaan jarak jauh yang terkena palang. – AGENSI










