PHILADELPHIA: Pengendali Croatia, Zlatko Dalic mengakui kaptennya, Luka Modric masih menjadi nadi pasukan apabila memainkan peranan penting membantu kemenangan 2-1 ke atas Ghana dalam aksi terakhir Kumpulan L Piala Dunia, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik.
Croatia menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan dengan mengumpul enam mata selepas Nikola Vlasic muncul wira menerusi tandukan kemenangan pada minit ke-83.
Skuad kendalian Dalic terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Petar Sucic pada minit ke-31 hasil rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol Ghana, Benjamin Asare.
Ghana bangkit memberi tentangan pada babak kedua sebelum Derrick Luckassen menyamakan kedudukan pada minit ke-73 dalam penampilan sulung antarabangsanya. Jaringan itu hanya disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, kegembiraan Ghana hanya bertahan 10 minit apabila Modric menghantar sepakan penjuru tepat ke tiang jauh untuk disudahkan Vlasic menerusi tandukan kemas yang memastikan tiga mata menjadi milik Croatia.
Dalic memuji pengaruh Modric yang terus membuktikan kemampuannya di pentas tertinggi meskipun sudah berada di penghujung karier.
“Luka benar-benar cemerlang. Sepanjang kariernya dia sentiasa memberikan aksi seperti itu dan saya sangat gembira dengan persembahannya malam ini.Dia sekali lagi membuktikan masih mampu menjadi pemain yang membezakan keputusan perlawanan,” katanya.
Bantuan gol itu turut menyaksikan Modric mencipta sejarah sebagai pemain tertua yang merekodkan bantuan jaringan dalam sejarah Piala Dunia.
Kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Ghana yang sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dengan empat mata.
Croatia pula akan berdepan naib juara Kumpulan K di Toronto, manakala Ghana dijadualkan menentang juara kumpulan berkenaan di Kansas City.
Dalam perkembangan sama, penyerang Ghana, Antoine Semenyo mengalami kecederaan buku lali pada penghujung perlawanan, namun berjaya menghabiskan aksi sehingga wisel penamat.-AGENSI










