Bubur asyura durian ‘kayangan’ bawa kelainan

Bubur asyura durian ‘kayangan’ bawa kelainan

MOHAMAD Rudzi Samsudin (tengah) bergotong-royong mengacau bubur asyura yang dimasukkan isi durian premium termasuk Musang King sebagai bahan utama di Kampung Lubuk Ayer, Ayer Hitam di Jerlun, Kedah.– UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Tradisi memasak bubur asyura yang sinonim dengan kedatangan bulan Muharam tampil dengan kelainan di Kampung Lubuk Ayer, Ayer Hitam apabila sajian warisan itu diolah menggunakan lima jenis durian gred A.

Isi durian premium seperti Musang King, IOI, Udang Merah, Duri Hitam dan Telor Boya dimasukkan ke dalam dua kawah bubur asyura yang dimasak secara bergotong-royong sejak pukul 9 pagi.

Menurut Ketua Cabang PKR Jerlun, Mohamad Rudzi Samsudin, inisiatif berkenaan bertujuan menyemarakkan sambutan Muharam dengan pendekatan berbeza agar lebih menarik minat masyarakat setempat untuk turut serta.

“Tradisi memasak bubur asyura ini memang kita adakan setiap tahun, namun kali ini kita cuba ubah sedikit dengan memasukkan durian-durian ‘kayangan’. Kebetulan pula musim durian sedang memuncak, jadi kita manfaatkan peluang ini untuk cipta kelainan,” katanya ketika ditemui di lokasi program, baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 10 kilogram (kg) isi durian digunakan bersama 8kg tepung pulut untuk menyediakan bubur tersebut, selain bahan asas lain seperti kacang merah, jagung dan kacang hijau.

“Kira-kira 400 pek bubur asyura diagihkan kepada penduduk sekitar dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM3,500 dengan durian sahaja menelan kos kira-kira RM3,000, manakala bahan mentah lain sekitar RM500,” ujarnya.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu bukan sahaja menyemarakkan semangat Muharam dalam kalangan penduduk, malah memperlihatkan bagaimana warisan tradisional boleh diperbaharui tanpa mengabaikan nilai kebersamaan masyarakat.

Ketua Wanita Keadilan PKR Jerlun, Nazirah Ibrahim berkata, seramai 25 ahli wanita parti itu turut berganding bahu menjayakan penyediaan bubur berkenaan.

“Melalui program seperti ini, kita dapat mengeratkan silaturahim sambil memberi peluang kepada masyarakat menikmati versi baharu bubur asyura yang lazimnya sinonim dengan rasa lemak manis, kali ini dengan aroma durian yang cukup istimewa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN