Jerebu bertambah teruk, semua sekolah di Johor tutup esok

Jerebu bertambah teruk, semua sekolah di Johor tutup esok

TUNKU MAHKOTA ISMAIL berkenan menitahkan agar semua sekolah di negeri Johor ditutup selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Oktober 2026 susulan keadaan cuaca jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di seluruh negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar semua sekolah di negeri ini ditutup susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di semua daerah, negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, penutupan itu ditetapkan buat dua hari, iaitu pada esok dan lusa.

Katanya, penutupan ini melibatkan seramai 617,258 murid dan pelajar di sebanyak 1,198 buah sekolah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta sekolah agama dibawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Semua sekolah di seluruh negeri Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid dan pelajar.

“Bagi sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran, pelaksanaannya akan ditangguhkan dan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pihak berkaitan.

“Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Dr. Muhammad Naqib, kerajaan negeri memahami bahawa keputusan ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja.

“Justeru, kerjasama dan pertimbangan majikan amatlah dihargai untuk memberikan fleksibiliti yang bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.

“Saya juga menyeru ibu bapa dan penjaga terus memantau kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah, memastikan mereka minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas,” katanya.

Beliau turut memberitahu, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN