Pengarah kejuruteraan MPKK dituduh salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Pengarah kejuruteraan MPKK dituduh salah guna kuasa

MUHAMAD Tarmymy Che Ani pertuduhan membabitkan kesalahan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dihadapkan Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya serta mengemukakan dokumen palsu, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Tarmymy Che Ani, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah mencadangkan syarikat Sagur Ria Enterprise kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi menjalankan kerja-kerja menurap dan menyelenggara Lorong Tiram 1/5 dan 2/5 di Taman Tiram, Kulim berjumlah RM200,000.

Saudara tertuduh itu didakwa memiliki kepentingan dalam Sagur Ria Enterprise kerana syarikat tersebut didakwa dimiliki oleh bapa dan adiknya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman di sini pada 12 Disember 2019.

Tertuduh yang merupakan pegawai badan awam iaitu jurutera Gred J48  didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak itu didakwa menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sebut Harga bertarikh 27 November 2019 dengan dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kewangan Dan Perbendaharaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada 5 Disember 2019.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia dituduh menggunakan satu lagi dokumen sebagai tulen iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga, Peruntukan Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) Tahun 2019, Fasa 2 MPKK, bertarikh 27 November 2019 yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen berkenaan adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman pada 26 Disember 2019.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, M. Puveneswaran.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan tarikh serahan dokumen serta sebutan semula ditetapkan pada 9 Februari depan.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN