MARANG: Nasi dagang menjadi antara juadah istimewa pilihan sebuah keluarga di Kampung Tembok Baru, Wakaf Tapai di sini setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina sebagai tanda penghargaan kepada tetamu yang berkunjung, khususnya rakan-rakan kaum Melayu.
Bagi Lim Chong Swee, 63, walaupun komuniti Cina di kawasan itu tidak ramai, sambutan perayaan tetap meriah dengan kehadiran rakan-rakan Melayu yang berkunjung menceriakan suasana.
Katanya, persiapan menyambut perayaan dilakukan sejak beberapa minggu lalu bersama isterinya, Tia Chui Feir, 59, termasuk mengemas dan menghias rumah dengan tanglung.
“Sudah menjadi tradisi setiap tahun sambutan Tahun Baharu Cina berasa tidak lengkap tanpa hiasan tanglung. Memandangkan komuniti Cina di sini tidak ramai, rakan-rakan kaum Melayu ramai memeriahkan sambutan.
“Sebab itu saya menempah nasi dagang, nasi lemak, bihun goreng, pulut panggang dan beberapa menu sampingan lain untuk dihidangkan kepada tetamu. Semua makanan saya tempah dengan orang Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Chong Swee berkata, rakan-rakan Melayu yang terdiri daripada kenalan lama termasuk rakan sekolah tidak melepaskan peluang berkunjung ke rumahnya setiap kali musim perayaan.
Beliau yang tinggal bersama ibunya, Tio Kin Oun, 90, serta dua anak yang belum berkahwin berharap Tahun Kuda membawa lebih banyak tuah dan kesejahteraan buat keluarganya. –utusan










