KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Rizman Ruzaini, mengorak langkah agresif dalam strategi perniagaannya bagi musim perayaan tahun ini dengan menyasarkan pertumbuhan jualan melebihi 30 peratus berbanding tahun lalu, selari dengan perancangan peluasan jenama ke peringkat antarabangsa.
Menurut pengasasnya, Rizman Nordin, segala perancangan pengembangan di peringkat antarabangsa sedang dilaksanakan secara teliti dan kini telah di fasa akhir sebelum butik pertama Rizman Ruzaini dibuka di luar negara.
“Sememangnya menjadi impian kami untuk melihat jenama tempatan yang dibangunkan sejak lebih 20 tahun lalu ini mampu membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ia bukan sekadar soal perniagaan, malah bagi saya dan Ruzaini sendiri, ini adalah impian setiap pereka fesyen untuk melihat jenama mereka mendapat pengiktirafan dalam kalangan pencinta fesyen di seluruh dunia.
“Buat masa ini, kami masih menjalankan usaha ke arah itu dan mengikut perancangan, butik kami dijangka akan dibuka di Asia Barat dan Paris,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Koleksi Hari Raya 2026, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, tahun ini pihaknya juga lebih selektif untuk menyertai sebarang bazar raya atau kiosk sementara kerana kami sudah mempunyai butik tetap di Suria KLCC dan juga Hotel Shangri La.
“Namun, kami memilih untuk sertai hanya dua tempat iaitu Absolute Bazaar dan juga Let’s Raya di Brunei,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-20, Rizman Ruzaini memperkenalkan dua koleksi Raya 2026 iaitu couture dan siap pakai (RTW) yang bukan sahaja memperkukuh identiti kreatif jenama, malah menyokong strategi perniagaan jangka panjangnya untuk kekal relevan dalam landskap fesyen moden.
Koleksi Rebirth Vol.3: Raya ditawarkan pada harga antara RM500 hingga RM850 dan akan mula dijual sepanjang bulan Ramadan di butik RR by Rizman Ruzaini di Suria KLCC dan Shangri-La Kuala Lumpur, serta secara dalam talian di www.rrbyrizmanruzaini.com.
Bagi koleksi couture, Hikayat Ratna ditawarkan pada harga antara RM4,800 hingga RM22,000 namun keseluruhan koleksi ini telah habis terjual, dengan pelanggan setia membuat tempahan seawal Disember tahun lalu menjadi satu bukti kepercayaan berterusan terhadap ketukangan adibusana Rizman Ruzaini. – UTUSAN










