Penduduk di Kampung Pulau Tiga ditawar sewa rumah PPR - Utusan Malaysia

Penduduk di Kampung Pulau Tiga ditawar sewa rumah PPR

SALLEH Shaari (kiri) bersama dua lagi penduduk dari Kampung Baru, Pulau Tiga Sungai Layar, Sungai Petani menyerahkan memorandum di Pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ MOHD. RIFAAT ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesemua 30 keluarga Kampung Pulau Tiga, Sungai Layar di Jalan Lencongan Barat dekat Sungai Petani akan ditawarkan untuk menyewa sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Paya Nahu dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Exco yang berlangsung semalam.

Katanya, ketika ini terdapat 40 kekosongan di PPR Paya Nahu dan mereka boleh penduduk di kampung tersebut tinggal di situ dengan kadar sewa RM124 sebulan.  

“Itulah tawaran kerajaan negeri kepada mereka. Kita tak boleh beri pampasan kerana ini bukan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri sebaliknya tanah yang mereka diami itu, milik individu lain dan perkara tersebut telah diputuskan di mahkamah.

“Setakat ini 25 rumah di Flat Paya Nahu sudah sedia untuk dimasuki manakala selebihnya perlu dibaik pulih. Saya difahamkan ada antara penduduk yang memiliki rumah lain dan disebabkan itu, kita serahkan kepada mereka sama ada mahu menerima tawaran kerajaan negeri ini atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Permodalan Kedah Berhad (PKB), Hayun Land Sdn. Bhd., Kedah Agro Holdings Berhad dan MHC Trading Sdn. Bhd. di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kenyataan dikeluarkannya pada Ahad lalu berhubung kesediaan kerajaan negeri menyediakan tapak baharu untuk penduduk terlibat membina rumah lain, Muhammad Sanusi mendakwa apa yang dinyatakannya itu hanyalah sebahagian daripada pilihan untuk membantu golongan tersebut oleh kerajaan negeri.

“Itu hanya pilihan tetapi kini kita ada pilihan lebih baik dengan penduduk boleh masuk segera rumah tersebut. 

“Kalau kita hendak sediakan tanah, proses nak miliki tanah kerajaan itu sangat lambat sedangkan saya difahamkan penduduk hanya dapat penangguhan dua minggu saja bermula 3 Januari lalu untuk keluar dari kediaman mereka.

“Langkah yang lebih baik, cepat dan selamat adalah mereka masuk ke Flat Paya Nahu. Mereka boleh tinggal di situ dengan kadar bayaran RM124 sebulan dan tanah itu bukan lagi opsyen yang akan ditawarkan” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk terlibat menyerahkan memorandum kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Pejabat Sultan Kedah di sini hari ini.

Mereka mahu mempertahankan hak apabila mereka  bakal kehilangan tempat tinggal selepas diarah mengosongkan rumah masing-masing melalui satu notis arahan Mahkamah Tinggi Alor Setar baru-baru ini.

Seorang penduduk, Salleh Shaari, 85, berkata, memorandum berkenaan dihantar bagi memohon supaya mereka tidak dihalau keluar dari Kampung Baru Sungai Tiga seperti diarahkan keluar oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 19 Disember lepas.

“Kami merayu agar pihak istana dapat campur tangan supaya penduduk di sini  tidak perlu mengosong rumah yang telah lama didiami sekian lama  dan berharap diberi penempatan baharu atau  wang pampasan daripada pihak berkenaan jika masih perlu keluar.

“Perkara ini dimohon dipertimbangkan memandangkan kebanyakan penduduk tiada pendapatan tetap dan hanya bekerja sendiri bagi menampung kehidupan anak beranak masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN