WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan telah meluahkan kemarahan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung peningkatan konflik Israel di Lubnan dalam satu panggilan telefon yang penuh kata-kata kasar, menurut laporan Axios.
Trump didakwa menyifatkan Netanyahu sebagai ‘gila’.
Beliau juga dilaporkan campur tangan untuk menghentikan rancangan serangan ketenteraan Israel ke atas Beirut.
Menurut laporan itu, Trump memberi amaran bahawa ancaman untuk mengebom ibu negara Lubnan hanya akan memburukkan lagi pengasingan Israel di peringkat antarabangsa.
Beliau juga dikatakan berkata bahawa beliau memainkan peranan penting dalam memastikan Netanyahu tidak dipenjarakan.
Merumuskan kenyataan Trump dalam perbualan itu, seorang pegawai AS berkata: “Kamu (Netanyahu) memang gila. Kamu sudah lama berada dalam penjara jika bukan kerana saya. Saya sedang menyelamatkan kamu. Semua orang membenci kamu sekarang. Semua orang membenci Israel kerana ini.”
Sumber lain yang mengetahui perbualan itu berkata, Trump sangat marah dan pada satu ketika menjerit berkata: “Apa yang kamu sedang buat ini?”
Trump dilaporkan bimbang dengan jumlah korban orang awam yang tinggi di Lubnan dan mengkritik tindakan ketenteraan Israel.
Kemarahan Trump juga dikatakan berpunca daripada tindakan Netanyahu yang dilihat mengganggu rundingan AS dengan Iran.
Selepas panggilan itu, Trump menulis di platform Truth Social bahawa rundingan dengan Iran sedang diteruskan pada kadar yang pantas. – AGENSI










