KLANG: Perjalanan seorang pemandu treler bertukar tragedi apabila maut terbabas ke parit dan melanggar tembok sebuah bengkel kereta di Jalan Kapar Batu 15 di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 50 tahun dari Bagan Serai, Perak berkenaan menuju ke arah daerah ini.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.59 pagi.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah treler terbabas ke dalam parit dan melanggar tembok bengkel kereta. Kemalangan itu mengakibatkan pemandunya tersepit di bahagian pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, mangsa yang cedera parah itu berjaya dikeluarkan bomba dalam tempoh 30 minit.
“Pemeriksaan pegawai perubatan kemudian mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan setakat ini.










