'Pelaku rasuah dipandang hina, dihumban dalam seksaan neraka' - Utusan Malaysia

‘Pelaku rasuah dipandang hina, dihumban dalam seksaan neraka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang menasihatkan pelaku rasuah menghentikan perbuatan terkutuk berkenaan dan segera memohon maaf kepada mereka yang telah teraniaya akibat perbuatan rasuah.

Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, setiap warga Malaysia tentu berasa risau dan cemas mengikuti berita tentang kejadian-kejadian rasuah yang melanda pada masa ini.

“Selaku Mufti saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berkaitan isu ini, setidak-tidaknya dapat dijadikan panduan dan nasihat kepada masyarakat Islam dari sudut hukum syarak.

“Dosa kepada Allah SWT mungkin diampuni dengan taubat, namun dosa kepada manusia termasuk mengambil hak mereka secara batil tidak akan terampun.

“Sementara kesempatan masih ada, maka hentikanlah perbuatan terkutuk ini dan mohonlah kemaafan kepada mereka yang teraniaya selama ini disebabkan anda telah menceroboh hak-hak mereka melalui rasuah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, gejala rasuah seakan sudah membarah di dalam negara membabitkan pelbagai sektor.

“Fahamilah perbuatan memberi dan menerima rasuah dikutuk oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

“Pelaku rasuah dipandang hina oleh masyarakat di dunia ini lagi, manakala di akhirat akan dihumban ke dalam seksaan neraka yang tidak terperi dahsyatnya,” katanya.

Tambahnya, dari sudut lain walaupun Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan, namun Islam juga mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan harta benda yang dimiliki sehingga terlupa kepada mengingati Allah SWT dan menjaga hukum yang ditetapkan di dalam agama-Nya.

“Mungkin juga kerana kesibukan mengejar kekayaan dan kemewahan hidup, ada yang terlalai tentang sifat sementara kehidupan dunia ini.

“Keinginan yang melampau kepada harta dunia sering mendorong seseorang kepada mengambil hak orang lain secara batil yang dilarang oleh syariat Islam,” katanya.

Selain itu tambahnya, keinginan sedemikian adalah nafsu yang sentiasa mengajak kepada perbuatan keji dan menjerumuskan seseorang ke jurang dosa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya