Pelajar SMA Padang Tengku maut dirempuh pacuan empat roda

Pelajar SMA Padang Tengku maut dirempuh pacuan empat roda

MOTOSIKAL Modenas Kriss yang ditunggang Ahmad Majidi Eswady mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan selepas terbabit kemalangan jalan raya di Kilometer 23, Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Kechau, Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Hasrat dan semangat untuk meneruskan sesi persekolahan hari ketiga awal tahun ini bagi seorang pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku berakhir setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Kechau, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss 100, Ahmad Majidi Eswady, 19, dalam perjalanan ke SMA Padang Tengku dari Kechau di sini maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu Hoo Teng Tack, 75, yang datang dari arah Lipis.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Teng Tack gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan di lokasi kejadian. 

“Pemandu yang juga pengurus sebuah kilang kayu di Kechau dipercayai mengalami penglihatan terhad akibat cuaca berkabus lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan motosikal mangsa. 

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dada serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Azli, pemandu kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan di kepala dan kaki kanan, dikejarkan ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan lanjut di wad kecemasan.

“Bedah siasat terhadap mangsa untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas ujian saringan Covid-19.  Kedua buah kenderaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan,” katanya.

Jelasnya, kes kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil memberikan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.