Pelaburan RM1 bilion bangun hub e-dagang, logistik di Bukit Kayu Hitam - Utusan Malaysia

Pelaburan RM1 bilion bangun hub e-dagang, logistik di Bukit Kayu Hitam

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) menyaksikan Ku Abd. Rahman Ku Ismail (depan, kanan) dan Affendi Mohamed Zain bertukar dokumen selepas menandatangani MoA bagi membangunkan hub e-dagang dan logistik di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menerusi agensi pemudah cara pelaburan negeri, Invest Kedah Berhad hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) pelaburan bernilai hampir RM1 bilion bersama KT Express Logistics Sdn. Bhd. bagi membangunkan sebuah hub e-dagang dan logistik di Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu.

Ketua Pegawai Eksekutif KT Express Logistics Sdn. Bhd., Datuk Affendi Mohamed Zain berkata, hub e-dagang dan logistik tersebut bakal memainkan peranan besar dalam aktiviti import dan eksport barangan melalui jalan darat di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Anggaran pelaburan keseluruhan dianggarkan berjumlah hampir RM1 billion dengan kerjasama ini dijangka mampu menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai Pusat Logistik Antarabangsa sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoA tersebut bersama beberapa individu lain antaranya Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail dan CEO Invest Kedah Berhad, Muhamad Mahazi Ibrahim.

Upacara tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Affendi memberitahu, pembangunan hub e-dagang dan logistik itu melibatkan tiga fasa bermula dengan gudang e-dagang berkeluasan 18,288 meter persegi dalam fasa pertama dan hub terminal e-dagang dilengkapi teknologi hijau pada fasa kedua.

Tambahnya, hub terminal tersebut akan mengguna pakai teknologi solar, robotik serta sistem penghantaran automatik dilengkapi sistem pengesanan penuh.  

“Bagi fasa ketiga pula, kami mahu melengkapkan gudang itu sebagai sebagai ‘Automated Fulfilment Centre’. Langkah itu diyakini mampu membantu pemain industri kecil sederhana (SME) dan peniaga kecil di negara ini untuk menyimpan, mengeksport dan mengimport produk mereka,” katanya.

Sementara itu, Ku Abdul Rahman berkata, pusat e-dagang tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan sebelum ini kebanyakan kegiatan logistik melibatkan urusan e-dagang dibuat melalui pengangkutan udara.  

“Jalan darat ini termasuk lori-lori besar dan kereta api. Sebelum ini terdapat laluan kereta api dibina dari China ke Laos dengan negara tanah besar itu turut dilaporkan mahu mengembangkannya melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura pula.

“Jika itu menjadi kenyataan, bayangkan jumlah perniagaan atau barangan yang akan sampai pusat e-dagang ini. Insya-Allah kewujudan pusat e-dagang ini akan membawa banyak kebaikan kepada negeri dan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyifatkan pelaburan tersebut sebagai prospek baharu kepada pembangunan negeri ini pada masa akan datang.  

“Ini dianggap sebagai pelengkap kepada Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam. Saya yakin Bukit Kayu Hitam akan berubah wajah apabila segala yang dirancang, menjadi kenyataan tidak lama lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN