Pasca Banjir: Perniagaan di Taman Sri Muda mulai pulih - Utusan Malaysia

Pasca Banjir: Perniagaan di Taman Sri Muda mulai pulih

RANDY Gain Jin Way menunjukkan tombol pintu yang tidak lagi boleh dijual di Jalan Mewah 25/63, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pusat perniagaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dilihat kembali rancak apabila pelbagai premis sudah pun memulakan operasi mereka selepas kawasan berkenaan terjejas teruk akibat banjir selama lima hari pada 18 Disember lalu.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia premis seperti restoran, pakaian, bengkel kenderaan, perkakasan serta kedai serbaneka di Jalan Ria, Jalan Mewah, Jalan Makmur, Jalan Teraju dan Jalan Mesra sudah pun kembali menjalankan perniagaan mereka seawal tiga hari selepas banjir surut.

Bagaimanapun, pasar raya dan restoran jenama terkenal masih lagi belum beroperasi termasuk beberapa kedai lain seperti penjual barangan kemas dan peralatan elektrik.

Pemilik dan pengurus kedai yang beroperasi ketika ditemui rata-rata menyatakan kerugian teruk akibat banjir, namun menegaskan tidak boleh menutup kedai terlalu lama bagi menjana pendapatan untuk mengimbangi kerugian.

Situasi itu dikongsikan pemilik kedai kunci, G&W Locksmith Enterprise, Randy Gain Jin Way yang memberitahu dia mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila hampir semua produk jualan dan peralatan seperti mesin buat kunci dan komputer tidak boleh digunakan lagi.

JASON Lim Tee Sen menunjukkan baju yang masih boleh digunakan selepas dicuci akibat banjir dan dijual pada harga yang murah di kedainya di Jalan Ria, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Paras air naik di bahagian dalam kedai hampir jejak ke bumbung menenggelamkan hampir semua barang yang dijual rosak dan tidak boleh digunakan. Anak kunci karat dan mangga karat, kunci alat kawalan jauh rosak serta tombol pintu tak boleh digunakan lagi.

“Tetapi hari ketiga kedai kembali beroperasi selepas terima panggilan daripada pelanggan tetap, mujur salah satu daripada dua mesin buat kunci masih boleh digunakan dan ada juga beberapa anak kunci masih boleh digunakan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Restoran Al Yeasin, Sulani Mohamed Yusof berkata, nasibnya mungkin tidak seburuk peniaga yang menjual barangan bukan makanan dan kerugian dialaminya tidak sampai RM100,000.

“Ada beberapa peralatan rosak seperti barangan elektrik dan perkakasan memasak, tetapi tidak serius kecuali peti ais yang tidak boleh digunakan langsung, sementara bahan mentah untuk memasak pula memang kena buang semua. Kerusi dan meja masih boleh digunakan.

“Bekalan bahan untuk memasak pula mudah didapati di tempat lain, justeru seawal hari Ahad saya sudah kembali buka kedai dan perniagaan pada hari ini dapat berjalan seperti biasa selepas kerja pembersihan dilakukan,” ujarnya.

Bagi, pemilik kedai pakaian VJ Victoria, Jason Lim Tee Sen, dia membuka kembali kedainya pada Selasa lalu iaitu seminggu selepas banjir surut dengan memasukkan semua pakaian baharu untuk dijual.

“Hampir semua pakaian rosak ditenggelami air menyebabkan saya terpaksa mengambil stok baharu untuk kembali memulakan perniagaan, mujur kerugian cuma sekitar RM30,000 sahaja dan pakaian yang masih boleh dipakai sudah pun dicuci dan dijual pada harga serendah RM5,” katanya.

Bagaimanapun terdapat kedai yang memerlukan masa dua hingga tiga minggu untuk beroperasi seperti Kedai Emas Yee Lam, apabila pemiliknya Y.G. Leong memaklumkan barangan kemas jualannya perlu dicuci dahulu sebelum dapat dijual.

“Ada yang tenggelam ada yang selamat, tetapi peralatan seperti perabot dan komputer rosak dan perlukan pembaikian, jadi saya perlu masa untuk buka semula kedai walaupun sudah ada pelanggan tetap bertanya jika kedai sudah buka,” tuturnya.

Walaupun banyak premis kembali beroperasi, namun terdapat kedai-kedai lain yang mungkin memerlukan masa lebih lama untuk bangkit seperti pusat jualan kereta terpakai di sekitar Jalan Ikhlas apabila ratusan kenderaan dijual di sana ditenggelami air.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN