Parti Bangsa Malaysia perkenal enam teras agenda pembangunan negara - Utusan Malaysia

Parti Bangsa Malaysia perkenal enam teras agenda pembangunan negara

ZAKARIA ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memperjuangkan enam teras agenda utama parti tersebut, iaitu keterlibatan pelbagai kaum, pemberdayaan wanita, pemerkasaan anak muda, pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, sebagai sebuah parti yang masih baharu dalam arena politik nasional, PBM sedar akan cabaran dan halangan yang mendatang, namun tetap bertekad untuk meneruskan perjuangan demi masa hadapan negara yang lebih gemilang.

“Setelah berlangsungnya Mesyuarat Agung Khas (EGM) dan pemilihan kepimpinan baharu PBM semalam, kita telah menerima pelbagai reaksi daripada ahli politik dan rakyat.

“Pandangan positif dan negatif yang disuarakan telah diambil maklum dan akan dibuat tindakan susulan oleh kepimpinan parti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan PBM telah melantik barisan kepimpinan baharu dalam satu EGM di Hotel RH Sibu Sarawak semalam.

Jawatan Presiden disandang oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng @ Soon Wei Shien dan Timbalan Presidennya, Haniza Mohamed Talha.

Zakaria berkata, PBM bukanlah sebuah parti yang bergerak berlandaskan retorik tetapi mempunyai aspirasi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa dan status sosial mereka.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai sebuah parti yang menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada, pihaknya turut bersetuju dan yakin dengan iltizam Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“PBM adalah medium penyatuan bagi memastikan tiada golongan rakyat Malaysia yang tercicir, sama ada dari sudut pembangunan ekonomi, mahupun perkembangan sosial.

“Kami berharap, agar perjuangan yang dibawa oleh kami pada hari ini akan mendatangkan manfaat kepada generasi rakyat Malaysia kini dan juga pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya