Parti Bangsa Malaysia bertapak secara rasmi di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Parti Bangsa Malaysia bertapak secara rasmi di Pulau Pinang

ALAN Oh (tengah) pada majlis memperkenalkan PBM Pulau Pinang di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Bangsa Malaysia (PBM) secara rasmi bertapak di Pulau Pinang menerusi pengenalan barisan pemimpin dan teras perjuangan parti tersebut khususnya untuk negeri ini.

Pengerusi PBM Pulau Pinang, Alan Oh berkata, parti tersebut disifatkan mendapat sokongan memberangsangkan daripada penduduk negeri ini apabila berjaya menarik 8,000 ahli dalam tempoh hanya kira-kira sebulan diperkenalkan.

Menurut Alan, PBM mampu menjadi parti alternatif kepada pengundi Pulau Pinang memandangkan sebahagian besar pemimpinnya pernah terlibat dan berpengalaman dalam politik negeri sekali gus memahami kehendak pengundi tempatan.

“Selain membuka penyertaan kepada semua kaum, penubuhan PBM menumpukan kepada teras utama seperti lebih banyak peluang kepada golongan muda dan wanita serta memperkasakan ekonomi, pendidikan dan teknologi.

“Kita berharap apa yang ditawarkan menerusi teras PBM ini dapat menarik keyakinan pengundi Pulau Pinang untuk memilih kita sebagai parti alternatif atau kuasa ketiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak,” katanya.

Alan Oh yang merupakan bekas Ketua Cabang PKR Bagan berkata demikian dalam sidang akhbar memperkenalkan PBM Pulau Pinang di sini hari ini yang turut dihadiri beberapa bekas pemimpin PKR negeri lain termasuk bekas Ketua Cabang PKR Jelutong, David K.P. Ong.

Ditanya sama ada PBM akan bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada PRU-15, Alan Oh berkata, perkara itu antara sasaran pihaknya dalam merampas pemerintahan kerajaan negeri daripada DAP.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya perlu bersikap realistik dan tetap bergantung kepada penilaian serta strategi politik terlebih dahulu termasuk memfokuskan di kerusi yang diyakini mampu dimenangi sebelum membuat keputusan.

Kepada soalan sama ada PBM sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik dalam merampas kerajaan negeri Pulau Pinang daripada DAP, Alan berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pilihan tersebut.

“Bagaimanapun masih terlalu awal untuk kita membuat ketetapan berhubung perkara ini dan ia juga tertakluk kepada keputusan daripada pemimpin Pusat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN