Apa dah jadi dengan Ops Songsang?

Apa dah jadi dengan Ops Songsang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INTEGRITI tidak lahir secara spontan. Integriti tidak terbentuk melalui pelan yang cantik tertulis di atas kertas. Integriti tidak tercapai melalui penubuhan sebuah institusi. Integriti dibentuk melalui pendidikan yang berterusan, disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh diteladani.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tirai Tahun Baharu 2026 dibuka bukan dengan harapan dan kestabilan, sebaliknya dengan episod pergolakan sosial yang mencalar keyakinan rakyat terhadap institusi negara. 

Selain kes keganasan, pergaduhan malah pembunuhan yang semakin rawak, kes melibatkan rasuah dan korupsi juga kian berleluasa seolah-olah tidak boleh dibendung undang-undang keras yang mengikat jenayah ini.

Siasatan tuduhan rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia bukan sekadar isu salah laku individu tetapi cerminan jelas kemerosotan etika dalam agensi kerajaan serta kegawatan moral masyarakat yang kian membarah. 

Semoga siasatan telus akhirnya akan diikuti dengan tindakan tegas dan berani terhadap mana-mana individu yang memungkiri amanah mereka.

Kebimbangan utama rakyat kini semakin jelas. Apabila beberapa kes berprofil tinggi berakhir tanpa sebarang pertuduhan, kesabaran rakyat sampai ke kemuncaknya. Terlalu kerap kita dipertontonkan skrip sama, yang mana kes-kes besar diumumkan dengan gah, namun akhirnya lenyap tanpa noktah.

Keadaan ini hanya mengukuhkan persepsi pendakwaan terpilih benar-benar wujud, bahkan dijadikan alat untuk melindungi kepentingan pihak tertentu dalam pada menekan pihak lain. 

Contoh paling nyata adalah insiden serbuan di Jalan Chow Kit pada November lalu. Pelik dan ajaib bagaimana Menteri Agama dan Menteri Wilayah yang terlibat dalam serbuan tersebut akhirnya digugurkan daripada Kabinet. 

Meskipun sudah lebih sebulan serbuan dibuat namun  persoalan besar masih tergantung tanpa jawapan, mengapa masih tiada satu pun pertuduhan difailkan terhadap 202 individu yang ditahan dalam Ops Songsang?

Jika alasan yang diberikan disebabkan kekurangan bukti, maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajib tampil menjelaskan punca dan kesan kegagalan tersebut. 

Bagaimana mungkin risikan dijalankan selama berminggu-minggu ke atas sebuah premis yang jelas tidak bermoral akhirnya tidak mampu menghasilkan bukti mencukupi untuk dibawa ke mahkamah? Apakah rakyat masih mampu tidur lena dalam pada agensi yang mengawal keselamatan negara gagal menunaikan tanggungjawabnya?

Tanpa tindakan susulan menimbulkan persoalan serius dan meresahkan, adakah pusat yang membenarkan seks bebas untuk pengunjung gay kini menikmati kekebalan undang-undang, berbeza dengan ribuan rumah persundalan dan pusat perjudian haram yang selama ini diserbu, didakwa dan dihukum tanpa kompromi?

Sedangkan jika diteliti Kanun Keseksaan, terdapat pelbagai peruntukan yang boleh dikenakan terhadap premis maksiat sedemikian. Antara yang boleh digunapakai adalah kesalahan di bawah Bab VIB Kanun Keseksaan yang memperincikan kes jenayah terancang.

Walaupun peruntukan ini sering dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap, namun tiada sebarang sekatan undang-undang yang menghalang apa yang berlaku dalam Ops Songsang daripada diklasifikasikan sebagai jenayah terancang. 

Seksyen 130V Kanun Keseksaan menjadikan kesalahan ke atas mana-mana orang yang menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Manakala Seksyen 130U mentakrifkan kumpulan jenayah terancang sebagai dua (atau lebih) orang yang bertindak bersama dengan tujuan melakukan kesalahan serius bagi mendapatkan faedah material, kuasa atau pengaruh. 

Manakala Seksyen 52B memperuntukkan maksud kesalahan serius sebagai mana-mana kesalahan yang boleh dihukum sekurang-kurangnya dengan 10 tahun pemenjaraan.

Kemasukan peruntukan di bawah Bab VIB Kanun Keseksaan melalui pindaan pada 2014 jelas menggambarkan kebimbangan serius negara terhadap ancaman jenayah terancang dalam masyarakat. Tidakkah apa yang secara terbuka diperkatakan berlaku di spa songsang itu tergolong kepada aktiviti jenayah terancang?

 

 

KEMELUT integriti berterusan, contohnya kes spa songsang, kini dilihat sebagai penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih kerana tiada tindakan serius diambil.

IMPLIKASI SOSIAL  & MORAL

 

Sebelum ini ramai peguam yang membincangkan hukuman di bawah Seksyen 377B yang memperuntukkan pemenjaraan sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan hubungan di luar tabii. Namun tidak ramai yang membincangkan aspek kerahsiaan spa songsang yang beroperasi di luar batas undang-undang.

Semua ini dikongsi dengan bangga oleh ramai pengunjung spa berkenaan di media sosial. Mereka berkongsi kad keahlian dan mengulas pengalaman melakukan aktiviti tidak bermoral di premis itu.

Elemen kerahsiaan dalam menjalankan aktiviti yang boleh dianggap sebagai kesalahan serius menjadikan premis seumpama itu diserbu dalam Ops Songsang sebetulnya adalah jenayah terancang.

Melepaskan semua yang ditahan tanpa sebarang pertuduhan bukan sekadar kegagalan penguatkuasaan tetapi isyarat yang amat bahaya. Mesej yang dihantar kepada masyarakat, khususnya generasi muda, kononnya kemaksiatan boleh dirunding dan undang-undang boleh dilembutkan mengikut siapa yang terlibat.

Ketika media antarabangsa rancak mempromosikan propaganda yang menormalisasikan keruntuhan moral dan kegagalan pemerintah bertindak tegas terhadap aktiviti songsang sebegini hanya mempercepatkan proses pembiasaan itu dalam minda anak muda negara. 

Jika ketegasan hilang, keadilan terpilih dan undang-undang diperalatkan, maka jangan terkejut apabila masyarakat akhirnya hilang hormat, bukan sahaja kepada penguatkuasa tetapi terhadap negara itu sendiri. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×