KEMELUT politik Perlis yang membawa peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar menggoncang Perikatan Nasional (PN) sehingga menyaksikan pemimpin-pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melepaskan jawatan di dalam PN.
Sejurus selepas pelantikan Abu Bakar Hamzah dari Bersatu sebagai Menteri Besar baharu yang mendapat pekenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, parti itu terutama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin diserang bertalu-talu oleh kebanyakan pemimpin Pas.
Akhirnya Muhyiddin melepas jawatan sebagai Pengerusi PN dan diikuti beberapa pemimpin kanan Bersatu termasuk di peringkat negeri.
Tindakan itu, memberi isyarat jelas gabungan itu berada di ambang krisis politik terbesar sejak ditubuhkan lima tahun lalu.
PN kini menuju kehancuran rentetan krisis politik di Perlis untuk menukar Menteri Besar yang dikatakan tidak mendapat sokongan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN.
Jika proses pertukaran Menteri Besar itu dapat disepakati dengan baik sudah pasti tidak terjadi seperti apa yang berlaku sekarang.
Bagaimanapun, Raja Perlis dengan penuh pertimbangan dan kebijaksanaan membuat keputusan memilih Abu Bakar demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri ini. Sebelum pelantikan, baginda difahamkan bertemu seorang demi seorang ADUN sebelum Abu Bakar akhirnya dipilih sebagai Menteri Besar.
Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu keputusan tersebut diterima buat masa ini kerana ia dibuat setelah baginda berfikir secara mendalam demi kemajuan negeri seterusnya menyeru semua pihak agar dapat menghentikan spekulasi dan tohmahan berhubung pelantikan Menteri Besar baharu itu.
Tidak sampai dua hari pelantikan itu, Pas sekali lagi membuat tindak balas dengan mengumumkan tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Abu Bakar. Langkah itu agak mengecewakan disebalik seruan baginda supaya perpaduan dalam kalangan PN dapat diteruskan.
Krisis politik yang berlaku di Perlis yang membawa kepada penolakan Mohd. Shukri sebagai Menteri Besar itu sebenarnya bukan perkara baharu dan dilihat bermula daripada dalaman Pas Perlis sendiri.
Bukan lagi menjadi rahsia umum antara faktor penolakan terhadap Mohd. Shukri sebelum ini dikatakan berpunca kegagalan beliau membawa parti menguasai atau memandu kerajaan.
Akhirnya tercetus pertembungan kem ‘kompleks DUN’ dan Pas Perlis yang semakin lama semakin membarah.
Isyarat awal penolakan itu diberikan apabila Mohd. Shukri tewas jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Arau diikuti gagal menempatkan diri dalam barisan Ahli Jawatankuasa Pas pusat sebelum dilantik semula.
Seterusnya Mohd. Shukri gagal menempatkan diri dalam barisan Badan Perhubungan Pas Negeri selain jawatan Pesuruhjaya Pas negeri dan Pengerusi PN Perlis yang disandang beliau sebelum ini digantikan dengan pemimpin lain.
Apabila kemelut tersebut meletus yang membawa peletakan jawatan Mohd. Shukri, Pas pusat pula melihat ia sebagai usaha pengkhianatan termasuk dalam kalangan tiga ADUN yang akhirnya tergugur keahlian dan kerusi dikosongkan.
Tiga bekas wakil rakyat itu dikecam teruk dan dilabel dengan pelbagai gelaran termasuk ‘jebon’ dalam kalangan ahli Pas.
Yang menjadi persoalan, adakah mereka diberikan ruang seluasnya untuk membela diri dan memberi penjelasan apa yang sebenarnya berlaku sehingga mendorong tindakan penolakan terhadap Mohd. Shukri itu diambil.

GAGAL BERUNDING
Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Adnan Fadzil akhirnya mendedahkan punca utama kemelut politik di Perlis termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar itu adalah kegagalan pihak tertentu di dalam Pas yang sepatutnya berperanan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Kata beliau, kegagalan berunding secara berkesan dengan istana bagi pihak Pas, setelah Raja Perlis memaklumkan hasrat untuk menukar Menteri Besar, akhirnya menyebabkan Tuanku Raja terpaksa bertindak menggunakan budi bicara baginda sepenuhnya.
Beliau juga kekal dengan pendirian tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis termasuk tiga wakil rakyat yang dihentikan keahlian. Ia termasuk juga dengan Bersatu yang tidak terlibat langsung dalam kemelut tersebut.
“Dokumen yang ditandatangani itu (disebut-sebut akuan bersumpah, SD) bukan dibuat di luar dan kemudian dibawa menghadap Tuanku Raja Perlis sebaliknya ditandatangani di hadapan Raja Perlis sendiri. Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan itu memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal.
“Saya juga dimaklumkan pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja masih membuka peluang untuk Menteri Besar tersebut datang daripada Pas. Namun, ADUN-ADUN Pas gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja Perlis,” katanya.
Dalam meredakan kemelut itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin turut mengingatkan agar ahli, pemimpin Pas serta semua pihak menghentikan segala naratif yang bersifat fitnah dan serangan yang memecahbelahkan berhubung kemelut politik di Perlis dan PN ketika ini.
Hashim menzahirkan kebimbangan budaya tuduh-menuduh, serangan peribadi dan lemparan tohmahan yang dilihat semakin membarah akan menjauhkan parti itu daripada adab sopan serta akhlak Islamiah.
“Saya juga memperingatkan diri saya dan semua pihak bahawa budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang kukuh tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada agama, bangsa mahupun negara. Sebaliknya hanya akan melebarkan jurang perpecahan, menyemai benih kebencian dan akhirnya merugikan rakyat yang mendambakan pembelaan nasib mereka.
“Islam mengajar kita untuk bersangka baik (husnuzon) dan menyiasat sesuatu berita (tabayyun) sebelum menyebarkannya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran jelas melarang kita daripada saling mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk.
“Justeru, hentikanlah segala naratif yang bersifat fitnah dan serangan yang memecahbelahkan,” katanya Hashim.
Kini, Abu Bakar diberi peluang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri selama tidak sampai dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Berilah ruang kepada beliau dan dalam masa sama terus perkukuhkan semula PN.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










