Op Tapis ‘sapu’ 38 tokan dadah di Melaka - Utusan Malaysia

Op Tapis ‘sapu’ 38 tokan dadah di Melaka

ZULKIFLEE Rashid (empat dari kiri) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas dalam beberapa siri serbuan Op Tapis di sekitar Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 157 individu termasuk 38 tokan dadah hanya mampu menyerah diri selepas dikepung polis dalam beberapa siri serbuan Op Tapis di sekitar negeri ini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, kesemua individu yang diberkas berusia antara 19 hingga 54 tahun.

Katanya, hasil risikan, pasukannya telah melakukan serbuan di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘sarang’ penagihan di ketiga-tiga daerah sepanjang tiga hari bermula 21 Januari lalu.

“Hasil serbuan, kita berjaya memberkas 157 individu, iaitu 153 lelaki dan empat perempuan termasuk seorang ibu tunggal dua anak berusia 41 tahun.

“Daripada jumlah itu, 38 merupakan tokan dadah, manakala baki 115 adalah penagih tegar di sarang tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 1.4 kilogram dan air ketum bernilai anggaran RM60,600.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas dadah jenis heroin sebanyak 1,168.3 gram, syabu (188.64 gram), ganja (129.45 gram), ketamin 4 gram dan air ketum 4.5 liter. Selain itu, wang tunai sebanyak RM10,000, tujuh buah kereta, 13 buah motosikal yang bernilai keseluruhan RM269,500 turut dirampas,” katanya.

Katanya, kesemua 157 individu ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39 B, Seksyen 12 (3), Seksyen 15 (1) (a), Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN