Perajurit muda berpeluang lanjut pendidikan menerusi PME

Perajurit muda berpeluang lanjut pendidikan menerusi PME

PERAJURIT muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang melanjutkan pendidikan melalui program Professional Military Education (PME) sekali gus membuka peluang mereka untuk menikmati kadar gaji yang lebih tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Perajurit muda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang melanjutkan pendidikan melalui program Professional Military Education (PME) sekali gus membuka peluang mereka untuk menikmati kadar gaji yang lebih tinggi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, langkah itu selaras dengan visi ATM untuk mewujudkan Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang memberikan penekanan terhadap pembangunan profesionalisme dan intelektualisme anggota.

Menurut beliau, peluang tersebut akan terbuka kepada 1,123 perajurit muda lelaki siri 203/25 yang telah berjaya menamatkan latihan asas tentera darat selama enam bulan bermula pada 5 Mac lepas.

“Program PME ini dirancang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggota, sekaligus membuka peluang untuk menikmati kadar gaji yang lebih tinggi berdasarkan kelayakan akademik yang mereka peroleh.

“Inisiatif ini adalah bukti komitmen tentera darat dalam melahirkan sebuah ketumbukan yang bukan sahaja gagah perkasa, tetapi juga berpengetahuan dan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, tentera darat sentiasa komited menyediakan sumber manusia yang profesional, kompeten dan mempunyai daya juang yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×